Usahawan wanita keluar dari zon selesa, reka 'content' tarik pelanggan media sosial

Aida Aziz
September 23, 2022 08:15 MYT
Datuk Normaziah Shiekh Mohamed berkata sikap malu atau risau dengan penerimaan orang ramai perlu dibuang jauh, kerana ia kadang kala membataskan potensi usahawan. - Astro AWANI
IPOH: Golongan wanita wajar merebut peluang dan berani keluar daripada zon selesa, untuk melangkah jauh dalam bidang perniagaan, khususnya berbentuk pendigitalan.
Platform media sosial yang pelbagai kini boleh menjadi batu loncatan untuk mereka, jika kena pada penggunaan dan menarik isi kandungannya.
Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Shiekh Mohamed berkata, 'content' atau kandungan di media sosial penting dalam memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.
Jelasnya lagi, sikap malu atau risau dengan penerimaan orang ramai perlu dibuang jauh, kerana ia kadang kala membataskan potensi usahawan.
"Memang maklum balas yang saya dapati ramai wanita yang berminat untuk berniaga menggunakan media sosial tetapi tidak mahir.
"Dia hanya tahu tengok Facebook dan lain-lain tetapi tidak tahu buat content, itu penting... dan itu yang kita ajar dalam program empat hari di sini.
"Kita ajar bagaimana mahu bercakap dengan pelanggan, untuk jual produk di media sosial sebab itu kena ada pengetahuan untuk mendekati pelanggan," katanya lagi.
Normaziah berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian program Transformasi Wanita Digital: Teknik Berkesan Tarik Pelanggan di Media Sosial, di Dewan Serbaguna Taman Meru, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Puteri Holijah Muhamad Rali.
Seramai 100 peserta terlibat dalam program yang berlangsung selama empat hari, bermula 22 hingga 25 September.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama MBI, Kelab Wanita Ikon Malaysia, Sekretariat Usahawan Negeri Perak dan Jabatan Pembangunan Wanita.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui ramai yang masih malu untuk tampil ke hadapan bagi mempromosi produk masing-masing secara agresif.
"Ya benar, hari ini kita berjumpa para peserta dan didapati setelah berkenalan dengan mereka, saya rasa hampir separuh peserta memang malu nak ke depan.
"Namun begitu, situasi sama kita pernah hadapi di Johor baru-baru ini, di akhir program kita turut ajar peserta untuk bina keyakinan diri.
"Jadi akhirnya kita dapat keputusan positif, peserta sudah berani dan mahir buat 'live' di media sosial.
"Sebenarnya kekangan yang mereka hadap ialah takut dikecam, kerana seperti kita tahu platform ini sering menjadi ruangan kecaman. Tapi saya naishatkan untuk mereka berani untuk perkara yang baik demi majukan perniagaan," katanya.
Sementara itu, Rumaizi berkata antara perkara yang menjadi kekangan bagi peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) ialah promosi dan tempat letak produk.
Katanya lagi, penjenamaan dan pendigitalan akan memberi banyak manfaat kepada para peserta khususnya wanita.
"Antara isu sekarang ini ialah promosi kurang dan masalah tempatkan produk. Kita kena kaji semula dua masalah itu.
"Sekarang ini promosi banyak ke arah digital, MBI boleh bantu daripada segi studio, radio dan TV," katanya.
Bandar raya Ipoh merupakan lokasi penganjuran kedua selepas Johor Bahru, selepas ini KWIM akan bergerak ke Selangor dan Negeri Sembilan.
#Normaziah Shiekh Mohamed #usahawan #media sosial #golongan sasaran
;