Usahawan wanita: Data tepat mudahkan bantuan dan sokongan - Tengku Zafrul
Madiha Abdullah
Oktober 14, 2024 18:29 MYT
Oktober 14, 2024 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya satu kajian yang teliti dibuat untuk mengetahui perkembangan usahawan wanita tempatan.
Ringkasan AI
- Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan keperluan kajian teliti untuk mendapatkan data tepat mengenai usahawan wanita tempatan bagi menyokong dasar dan bantuan yang lebih bersasar.
- Beliau melihat keperluan untuk meningkatkan keterlibatan wanita dalam penggubalan dasar kerajaan secara rasmi.
- Malaysia akan memfokuskan kepada kesaksamaan jantina dalam keusahawanan semasa mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, termasuk mengadakan persidangan wanita.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kajian akan membantu penghasilan data yang tepat, sekali gus membolehkan bantuan dan sokongan yang lebih bersasar diberikan.
“Kita perlu membuat tinjauan atau data yang berkaitan supaya apabila kita keluar dan mengemukakan masalah kita, untuk membantu industri berkaitan, atau badan berkaitan yang ada di sini hari ini, kita ada fakta dan ini akan membantu ke arah pembuatan dasar.
“Dahulu kita ada bahagian yang bertanggungjawab dalam hal ini di MITI. Jadi bahagian strategik dalam MITI, kita boleh lihat bagaimana kajian dapat disusun daripada semua titik data, dan kita bekerjasama juga mendapatkan beberapa data daripada Jabatan Perangkaan,”katanya.
Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul melihat adanya keperluan untuk mempertingkatkan keterlibatan wanita bagi memberi input dalam semua penggubalan dasar kerajaan secara rasmi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul Malaysia akan memacu langkah proaktif mengetengahkan kepentingan kesaksamaan jantina dalam keusahawanan dalam agenda ekonomi ASEAN, terutama dengan peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
“Salah satu tumpuan yang akan kita umumkan tidak lama lagi ialah kita akan memberi tumpuan juga kepada wanita dalam perdagangan apabila kita mempengerusikan ASEAN.
“Malah, kita ada persidangan wanita, kita akan umumkan apabila kita mempengerusikan ASEAN dan saya ingin menjemput anda semua untuk membantu memberi input dan mengambil bahagian dan mungkin juga memacu perkara ini.”
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada jamuan makan tengah hari dan sesi interaktif bersama Jawatankuasa Konsultatif Wanita Dalam Perdagangan dan Industri, pada Isnin.
Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh HAWA Malaysia itu akan menjadi satu platform untuk ahli menyuarakan pendapat mengenai pelbagai isu di samping mengutarakan saranan berkaitan undang-undang dan polisi untuk memudahcara penglibatan aktif wanita dalam sektor perdagangan.