Usahawan udang kara terjejas akibat banjir di Hulu Langat
Bernama
Disember 22, 2021 08:18 MYT
Disember 22, 2021 08:18 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih dua ribu udang kara matang yang siap untuk dipasarkan bernilai puluhan ribu ringgit antara yang musnah dalam kejadian banjir besar di Hulu Langat Sabtu lepas.
Projek Hub Pengumpulan dan Tumpuan Ternakan Udang Kara (Hub Petukar) yang diusahakan bekas penjawat awam, Suhaidy Shuib, 36, di belakang rumahnya di Dusun Tua, Hulu Langat itu gagal diselamatkan apabila air naik terlalu pantas hingga menenggelamkan 80 tangki yang mengandungi udang itu.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, air mula memasuki rumah sedalam paras paha dan terus meningkat hingga ke tingkap rumah pada awal pagi keesokannya.
"Dalam pukul 10, alat pengesan yang dipasang pada tangki memberi amaran kenaikan air dan pam oksigen sedia ada yang menggunakan elektrik terpadam, sebelum ia bertukar kepada pam yang menggunakan bateri.
"Namun pada pukul 11 malam apabila talian internet turut terputus, alat pengesan juga tidak berfungsi lagi dan tenggelam," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya semalam.
Selain udang kara, turut musnah dalam bencana itu adalah barang-barang elektronik yang digunakan untuk projek udang kara, barangan pejabat serta gerai makan yang dibina di kawasan rumahnya. Kerugiaan dianggarkan sekitar RM60,000.
Suhaidi yang telah berumahtangga dan tinggal bersama keluarganya mengusahakan ternakan udang kara secara serius sejak enam tahun lepas setelah membuat keputusan meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam.
Beliau yang merupakan penerima geran agropreneur muda daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mendapat bantuan RM30,000 ketika berjinak-jinak memulakan projek itu, selain turut menerima bantuan Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang sebanyak RM100,000 dan mula membangunkan Hub Pengumpulan dan Tumpuan Ternakan Udang Kara (Hub Petukar) pada 2019.
"Keuntungan yang diperolehi untuk setahun lebih kurang 800,000. Jadi waktu sekarang adalah waktu paling sukar, saya anggap ini adalah ujian Allah dan saya yakin akan dapat membina semula operasi seperti sediakala," katanya.
Sementara itu, MAFI melalui MAFI Prihatin turun memberikan sumbangan kepada ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat yang terjejas dalam bencana itu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee turut meninjau keadaan ahli-ahli PPK yang terjejas bagi merangka bantuan yang sesuai untuk diberikan.
-- BERNAMA