Usahawan semakin cakna terhadap kepentingan harta intelek
Haikal Raman
Disember 31, 2022 16:18 MYT
Disember 31, 2022 16:18 MYT
KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran usahawan tempatan termasuk sektor industri perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) berhubung kepentingan pendaftaran harta intelek (IP) dilihat semakin meningkat.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar berkata, perkara tersebut bersandarkan data dikeluarkan apabila setakat November lalu, terdapat peningkatan kepada 46,812 pendaftaran harta intelek berbanding 44,680 pada tahun 2021.
Menurut beliau, pendaftaran harta intelek pada tahun 2020 pula adalah sebanyak 39,664.
“Peningkatan ini menunjukkan keyakinan dan kesedaran yang memang sudah wujud dan semakin baik, malah ia dapat dibuktikan melalui dana pemfailan harta intelek diperuntukkan berjumlah RM2.5 juta dalam tempoh empat tahun bermula 2016 hingga 2020. Jumlah ini memberikan pendaftaran IP kepada 1,465 individu.
“Manakala bagi tahun 2022, kami menerima peruntukan bernilai RM1 juta untuk dipohon dan setakat ini sebanyak RM940,000 daripadanya dibelanjakan bagi tujuan berkenaan. Kebanyakannya memohon cap dagangan (trademark) dan paten (patent),” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
IP merupakan hasil ciptaan minda usahawan dan ia merangkumi enam komponen iaitu cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, susun atur litar bersepadu, petunjuk geografi dan hak cipta.
Negara turut mewujudkan dasar bagi IP, yang mana tujuan utama Dasar Harta Intelek Negara adalah untuk memanfaatkan harta intelek sebagai enjin pertumbuhan baharu bagi meningkatkan kemakmuran ekonomi dan sosial.
Tambah Abdul Haris, harta intelek tidak hanya memberi nilai tambah, sebaliknya turut bertindak sebagai perlindungan selain membantu meluaskan lagi jaringan perniagaan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“Apabila mereka mencipta perkara baharu ia akan menjadi hak eksklusif sekali gus dapat mengelakkan daripada berlaku sebarang peniruan atau unsur-unsur lain terhadap jenama didaftarkan. Ia turut membantu usahawan menjana pendapatan dari segi pemasaran, kesediaan produk dan sebagainya.
“Kita akan terus berusaha untuk meningkatkan jumlah pendaftaran harta intelek pada tahun akan datang kerana jika dibandingkan dengan negara seperti Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan China jumlah mereka jauh lebih besar,” ujarnya.
Bagi pendaftaran cap dagangan, usahawan akan mendapat perlindungan sehingga 10 tahun manakala 20 tahun bagi pendaftaran paten.
MyIPO dalam pada itu turut berhasrat untuk memberi tumpuan kepada peningkatan pendaftaran IP bagi komponen petunjuk geografi, reka bentuk perindustrian dan hak cipta.