Usahawan Sarawak perlu kreatif depani cabaran geografi, capaian internet - Penganalisis
Astro Awani
November 6, 2020 22:52 MYT
November 6, 2020 22:52 MYT
KUALA LUMPUR: Usahawan industri Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Sarawak perlu kreatif mendepani cabaran geografi serta capaian internet di negeri itu dalam usaha mentransformasi perniagaan ke platform digital.
Langkah itu penting dalam memastikan usahawan PKS mampu menguasai teknik perniagaan secara digital ketika berdepan penularan COVID-19.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Sarawak, Dr Abdul Jabbar Abdullah, pendedahan kepada aspek digital adalah selari dengan agenda kerajaan negeri Sarawak dalam menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
"Peranan setiap usahawan mengadaptasi kaedah digital ini penting bagi menjayakan agenda itu.
“Antara yang paling penting adalah kreativiti. Ini kerana setiap usahawan perlu bijak menjalinkan kerjasama dengan pemain industri dari kawasan yang berbeza... lebih-lebih lagi antara usahawan di bandar dan luar bandar.
“Malah, melalui kerjasama ini, ia mampu membantu mereka menyelesaikan masalah, melonjakkan keuntungan perniagaan sekali gus meneroka peluang baharu," katanya.
Dr Abdul Jabbar berkata demikian sebagai respon kepada inisiatif dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 yang memfokuskan kepada menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan.
Antara insiatif dibentangkan termasuk dana sejumlah RM150 juta disediakan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro.
Selain itu, RM150 juta bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui usahasama dengan platform e-commerce utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan turut memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan.
#usahawan PKS Sarawak
#transformasi digital
#Inovasi usahawan di Sarawak
#Sarawak negeri maju 2030
#inisiatif Belanjawan 2021