Usahawan Sabah tingkat hasil jualan lebih RM1.63 juta menerusi bimbingan INSKEN
Hasimi Muhamad
November 26, 2023 19:23 MYT
November 26, 2023 19:23 MYT
KOTA KINABALU: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus giat membantu usahawan Sabah meningkatkan hasil jualan melebihi RM1.64 juta melalui dua program bimbingan iaitu Program Bimbingan Keuntungan Menu dan Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin, seramai 110 usahawan dari pelbagai daerah termasuk Tawau dan Semporna berjaya menamatkan sesi bimbingan jangka masa panjang secara ‘one-on-one’ bersama pakar industri.
Jelas beliau, daripada hasil jualan RM1.64 juta, sebanyak RM1.5 juta berjaya dijana oleh 81 usahawan Program IBBC, manakala RM113,000 lagi dijana oleh 29 usahawan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
“Lebih membanggakan, dua program bimbingan ini telah berjaya meningkatkan status lima orang usahawan Sabah daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.
“Pencapaian program bimbingan INSKEN juga turut merekodkan 30 pekerjaan baharu melalui Program IBBC dan 28 peserta mempunyai medium penghantaran makanan baharu melalui Program Bimbingan Keuntungan Menu,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhd Firdaus menambah pendekatan bimbingan daripada usahawan kepada usahawan yang diterapkan dalam program bimbingan INSKEN ternyata berhasil.
Ujar beliau, usahawan akan dibimbing memperbaiki setiap komponen keusahawanan yang diperlukan termasuk pengurusan perniagaan, pemasaran, pengiraan kos serta kewangan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan sama berkata, inisiatif program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN kepada usahawan mikro dan informal adalah selari dengan beberapa fokus utama yang digariskan untuk direalisasi menerusi Belanjawan 2024.
Katanya, ia bagi menjamin kelangsungan perniagaan dan seterusnya mewujudkan negara keusahawanan yang unggul.
#INSKEN
#Institut Keusahawanan Negara
#Usahawan Sabah
#Program Bimbingan Keuntungan Menu
#Muhd Firdaus Azharuddin