Usahawan PKS masih boleh berniaga menerusi e-bazar Helpy Lifestyles
Astro Awani
April 8, 2020 18:24 MYT
April 8, 2020 18:24 MYT
Para peniaga bazar Gawai Dayak dan ramadan di Sarawak tidak perlu risau untuk menjana pendapatan tahun ini.
Walaupun kerajaan Sarawak memutuskan tiada bazar Gawai Dayak dan ramadan ini ekoran tetapi mereka boleh tukar perniagaan dari cara konvensional kepada digital.
Untuk itu, satu aplikasi dibangunkan iaitu Helpy Lifestyles Solutions untuk membantu peniaga bazar ini terus menambah pendapatan.
Bagi Ketua Pemasaran Helpy Sdn. Bhd., Andenn Hassan, aplikasi itu akan menjadi platform menghubungkan pelanggan dengan usahawan pada musim perayaan akan datang.
"Dalam usaha membantu usahawan yang berniaga di bazar Gawai Dayak dan ramadan memandangkan tahun ini bazar dibatalkan, kita telah menyediakan kumpulan e-bazar secara atas talian.
"Semua ini untuk memberi semangat kepada para usahawan PKS supaya tidak menyerah dan mencari jalan lain untuk meneruskan perniagaan mereka," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Andenn, aplikasi itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk proses penghantaran dan pembungkusan selamat serta bersih.
Sebagai contoh jelasnya, produk makanan yang dijual akan dibungkus dengan plastik sebelum penghantar yang ditugaskan datang membersihkan bungkusan sebelum menghantar kepada pelanggan.
"Sebelum diserahkan, para penghantar akan mengambil kira penjarakan sosial iaitu satu meter selain menghubungi pelanggan di mana lokasi barangan itu diletakkan," katanya.
Menurut Andenn lagi, inisiatif itu dapat menangani penularan wabak COVID-19 sekali gus membantu para usahawan PKS yang terkesan dengan menggalakkan penggunaan platform digital dalam pemasaran produk jualan dan perkhidmatan.
#Andenn Hassan
#Bazar Gawai Dayak
#Bazar Ramadan
#COVID-19
#e-bazar
#Helpy Lifestyles Solutions
#Sarawak