Usahawan perlu teroka peluang ditawarkan China
Bernama
November 25, 2017 23:22 MYT
November 25, 2017 23:22 MYT
Usahawan Malaysia perlu meneroka potensi perniagaan besar yang ditawarkan China bagi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, oleh kerana China adalah rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia, adalah penting untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara.
Menurutnya, tujuh bidang teras yang perlu dimanfaatkan usahawan Malaysia ialah hartanah dan pembinaan, pertanian, teknologi, perkhidmatan, pembuatan, produk halal serta penjagaan kesihatan.
"Ia adalah peluang besar untuk usahawan tempatan kita dalam era globalisasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
"Lebih mudah menjalankan perniagaan dengan China yang mempunyai persamaan dengan kita dari segi budaya dan bahasa.
"Dengan pembabitan Malaysia dalam Inisiatif Jalur dan Jalan, Malaysia akan menyaksikan lebih banyak perdagangan antarabangsa dijalankan di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) Ke-7 di sini, hari ini.
Acara tahunan sejak 2011, MCEC adalah platform untuk wakil perniagaan berkongsi prinsip perundingan meluas, sumbangan bersama, pembangunan bersama dan berkongsi manfaat daripada perusahaan.
China terus menjadi rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2009. Pada 2016 perdagangan Malaysia dengan China meningkat 4.4 peratus kepada RM240.91 bilion.
Dengan pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Wee berkata, ia akan membantu perusahaan kecil dan sederhana dalam memanfaatkan penumpuan pertumbuhan eksponen ekonomi internet dan aktiviti e-dagang rentas sempadan.
"Jika syarikat Malaysia kurang kompetitif, kita akan ketinggalan. Pada masa sama, kita juga perlu mewujudkan bakat dan kepakaran kita sendiri kerana kita tidak boleh bergantung kepada pekerja asing," tambahnya.
Selain itu, Wee berkata, DFTZ akan merangsang pelan tindakan e-dagang Malaysia yang diperkenal pada 2016 dengan tujuan menggandakan pertumbuhan e-dagang negara serta meningkatkan sumbangan KDNK kepada RM211 billon menjelang 2020.
"Contohnya, usahawan Malaysia akan menubuhkan syarikat di China untuk menjual aiskrim durian Musang King. Apabila China melihat peluang ini, mereka mahu syarikat Malaysia datang ke negara mereka untuk mereka melabur," tambahnya.
-- BERNAMA
#2016
#China
#ekonomi
#Halal
#KDN
#KDNK
#kesihatan
#pekerja asing
#perniagaan
#usahawan
#Wee Ka Siong