Usahawan muslim digesa bina jaringan kerjasama
Bernama
November 25, 2012 11:20 MYT
November 25, 2012 11:20 MYT
Usahawan muslim di negara ini digesa membina dan meningkatkan lagi jaringan kerjasama untuk memajukan diri dalam bidang yang diceburi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata sekiranya usahawan Islam mahu menguasai selok belok bidang perniagaan, mereka harus saling menyokong antara satu sama lain.
"Tanpa wujudnya jaringan yang merangkumi aspek kecil hinggalah kepada perkara yang lebih besar, kita tidak dapat mengoptimumkan penguasaan dalam bidang keusahawanan," katanya ketika berucap dalam majlis makan malam amal anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Pulau Pinang (DPIMPP) malam tadi.
Nor Mohamed berkata usahawan muslim tidak kira sama ada yang telah lama bertapak dalam dunia perniagaan atau sebaliknya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan bersedia mempelajari ilmu baharu bagi bersaing secara kompeten dengan usahawan lain.
Katanya mereka juga perlu memiliki keberanian untuk menerokai bidang baharu dan bersedia berdepan dengan risiko serta tidak mudah mengalah jika melalui detik sukar dalam perniagaan.