Usahawan menang saman terhadap pelakon, peroleh ganti rugi RM250,000

Bernama
Julai 31, 2024 09:45 MYT
Usahawan Datuk Haris Embong (kiri) dan syarikatnya memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas menang dalam kes samannya terhadap pelakon Rafidah Ibrahim. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang usahawan dan syarikatnya memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas menang dalam kes samannya terhadap pelakon Rafidah Ibrahim, berhubung dakwaan enggan membayar hasil kerja selebriti itu, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee memutuskan demikian, selepas membenarkan saman fitnah difailkan Datuk Haris Embong, 47, dan syarikatnya Arisprop Holdings Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku, 'Aris Burger' selaku plaintif terhadap Rafidah, 38, sebagai defendan.
Lee dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati hantaran kedua yang diterbitkan defendan di media sosial adalah fitnah, kerana perkataan yang digunakan defendan itu telah mendedahkan plantif-plaintif kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan.
"Mahkamah mendapati hantaran tersebut membawa maksud syarikat berkenaan telah mengambil kesempatan ke atas defendan (Rafidah), dengan enggan membayar hasil kerja beliau yang ketika itu ketua pemasaran syarikat tersebut.
"Ayat defendan memberi gambaran kepada pembaca seolah-olah syarikat tersebut tidak beretika, perniagaan yang mengeksploitasikan atau menggunakan khidmat seseorang tanpa bayaran serta, tidak bermaruah dan perniagaan syarikat itu tidak berkat," kata hakim itu.
Lee berkata defendan telah menggunakan perkataan yang merendahkan maruah kedua-dua plaintif di mata orang awam, serta mengajak pembaca untuk menjauhi dua plaintif itu.
Selain itu, hakim itu berkata mahkamah mendapati hantaran pertama yang diterbitkan defendan dalam media sosial berhubung dakwaan plaintif tidak bermaruah, tidak berintegriti dan jelik itu, bukan suatu fitnah meskipun perkataan yang digunakan oleh defendan sememangnya mampu mempunyai taksiran fitnah.
"Mahkamah mendapati plaintif pertama (Haris) gagal membuktikan defendan telah merujuk kepada beliau (Haris) dalam hantaran tersebut. Oleh itu, plaintif pertama gagal membuktikan semua unsur-unsur fitnah bagi hantaran tersebut," katanya.
Hakim itu kemudian memerintahkan Rafidah membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada plaintif pertama dan RM150,000 kepada plaintif kedua (Arisprop Holdings), selain defendan perlu membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua plaintif.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri, kakitangan dan ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan yang bersifat fitnah terhadap kedua-dua plaintif.
Mahkamah juga menolak tuntutan balas dikemukakan defendan terhadap kedua-dua plaintif untuk menuntut antaranya wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021, dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikan defendan.
Peguam Joycelyn Goh dan Foo Hong Chuen mewakili kedua-dua plaintif, manakala peguam Noorhafidzah Abd Rahim mewakili Rafidah.
Sementara itu, Haris ketika ditemui pemberita berkata beliau dan syarikatnya telah dicemuh masyarakat selain berada dalam 'alam kegelapan', apabila orang ramai memandang serong terhadap perniagaannya ekoran hantaran yang diterbitkan Rafidah.
"Keputusan hari ini dapat membersihkan nama saya dan syarikat. Pada mulanya saya tidak mahu mengambil tindakan terhadapnya (Rafidah) dan cuba menghubunginya supaya menurunkan hantaran dibuat, namun beliau meminta saya bercakap dengan peguamnya," katanya.
Noorhafidzah berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.
Dalam saman yang difailkan pada Oktober 2021, Haris mendakwa Rafidah yang juga pempengaruh media sosial telah menerbitkan dua hantaran tersebut di Facebook beliau pada 21 Sept 2021 dan 18 Okt 2021.
-- BERNAMA
#usahawan menang saman #pelakon Rafidah Ibrahim #dakwaan enggan membayar hasil kerja #Haris Embong #Arisprop Holdings #produk sejuk beku #Aris Burger