Usahawan luar bandar digesa kuasai teknik pemasaran dalam talian - Rina Harun

Bernama
Oktober 19, 2019 18:00 MYT
RINA: Teknik pemasaran dalam talian dilihat efektif bagi membantu golongan usahawan ini menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global. - Gambar fail
Usahawan luar bandar diingatkan menguasai teknik pemasaran dalam talian supaya produk mereka dapat berkembang di pasaran dengan lebih pantas, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata ia satu strategi yang dilihat efektif bagi membantu golongan usahawan ini menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global memandangkan kebanyakan daripada mereka bergantung kepada pasaran domestik dan hanya sebahagian kecil untuk pasaran eksport.
Selain itu katanya ia dapat mengatasi cabaran yang dihadapi usahawan seperti kualiti produk dan perkhidmatan, jaringan pemasaran yang lemah dan tidak meluas, tiada pensijilan, strategi yang tidak berkesan dan kurang promosi.
"Di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga, terdapat Program Desamall@Online yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan luar bandar bagi memasarkan produk secara dalam talian di platform Lazada, Shopee dan PrestoMall," katanya ketika berucap pada Karnival Usahawan Desa 2019 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, katanya kerajaan akan menambah baik ekosistem keusahawanan sedia ada bagi menyokong usaha melahirkan usahawan desa berjaya, sekali gus meneruskan agenda pemerkasaan pembangunan komuniti itu.
Sementara itu, dalam sidang medianya, Rina berkata nilai jualan berjumlah RM14.74 juta berjaya direkodkan sepanjang dua hari karnival tersebut diadakan.
"Nilai jualan itu adalah untuk dua hari iaitu bagi Khamis dan semalam (Jumaat) dan sasaran jualan dan tempahan keseluruhan bagi lima hari penganjuran sehingga Isnin ini adalah RM40 juta," katanya.
-- BERNAMA
#bantuan kerajaan #luar bandar #pasaran domestik #pasaran global #pemasaran dalam talian #Rina Harun #teknik pemasaran #usahawan
;