Usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri, adik ditahan terlibat sindiket dadah antarabangsa
Hilmi Malik
November 13, 2020 19:56 MYT
November 13, 2020 19:56 MYT
SHAH ALAM: Seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri serta adiknya ditahan polis dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Ahli perniagaan berusia 31 tahun itu serta adik lelakinya yang juga seorang anggota tentera berusia 25 tahun ditahan sekitar jam 4.30 petang Selasa lalu bersama bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram dianggarkan bernilai RM5 juta.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.
“Hasil siasatan, polis (kemudian) telah menahan tiga lelaki (lain) termasuk seorang warga Indonesia yang pasportnya sudah tamat tempoh di lokasi sama.
"Dua lelaki tempatan itu dipercayai anggota sindiket terbabit manakala warga Indonesia itu dikenal pasti memainkan peranan sebagai orang tengah.
"Siasatan lanjut turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPK Selangor pada Jumaat.
Difahamkan, sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum semua dadah itu dihantar ke negara jiran.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa kenderaan termasuk Ford Mustang, Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV.
Sementara itu, Arjunaidi berkata, dadah yang dirampas pihaknya dalam serbuan itu boleh menampung kehendak 253,700 penagih.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#usahawan kosmetik
#sindiket pengedaran dadah
#antarabangsa
#ditahan
#serbuan
#RM5 juta
#Syabu
#transit
#Arjunaidi
#IPK Selangor