Usahawan, koperasi terjejas banjir boleh mohon tangguh bayar pinjaman - Ewon
Bernama
Julai 1, 2024 19:15 MYT
Julai 1, 2024 19:15 MYT
PENAMPANG: Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat banjir boleh memohon untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman di bawah agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk tempoh maksima enam bulan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata usahawan dan koperasi yang terjejas boleh menghubungi pegawai agensi masing-masing untuk maklumat dan tindakan lanjut.
Beliau berkata KUSKOP sentiasa prihatin dengan usahawan dan koperasi yang terkesan dengan bencana banjir itu serta akan membantu mereka untuk memulihkan perniagaan masing-masing.
"Kita ada dasar tangguhkan pembayaran balik pinjaman ini untuk usahawan dan koperasi terjejas banjir, saya akan sentiasa berhubung dengan pegawai kementerian (KUSKOP) bagi memastikan dasar kita ini dapat membantu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Banjir yang dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan tengah hari semalam sehingga malam tadi menyebabkan 112 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang pagi ini.
Ewon berkata pihaknya hari ini menyalurkan RM30,000 untuk menyediakan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas dan bantuan itu sebagai tambahan kepada RM20,000 yang disalurkan bagi membantu mangsa banjir itu, semalam.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata fokus pada masa ini adalah memastikan semua penduduk terjejas selamat dan memindahkan penduduk yang terjejas ke tempat lebih selamat di PPS Dewan Kebudayaan Penampang di sini.
"Kita pastikan penduduk selamat terlebih dahulu, kebajikan itu sudah tersedia bila mereka dipindahkan. Kita juga sedang merangka bagaimana mahu membantu mangsa banjir ini setelah mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Ewon berkata beliau berterima kasih kepada pihak yang bermurah hati antaranya agensi kerajaan, usahawan serta koperasi yang menghubungi beliau dan sedia untuk memberikan sumbangan bagi membantu mangsa banjir itu.
"Kita akan koordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk perkara ini. Apa yang boleh kita salurkan, mungkin bantuan baiki rumah dan bantuan kepada pelajar sekolah yang terkesan," katanya.
Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertungkus lumus membantu penduduk di kawasan itu.
-- BERNAMA