Usahawan IKS Sarawak dibantu dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang

Astro Awani
Mac 24, 2020 14:58 MYT
Antara lain, penjaja pasar malam dan tamu juga mendapat diskaun untuk sewa dan cukai kediaman serta pengecualian bayaran permit dan lesen niaga. FOTO: Bernama
Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Isnin bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat malah banyak mengutamakan kebajikan petugas barisan hadapan.
Perkara ini dinyatakan Menteri Muda E-Dagang Sarawak, Datuk Naroden Majais.
Menerusi pakej itu, ia menyentuh secara khusus soal kebajikan usahawan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dikuatkuasakan.
Menurutnya, bagi tempoh enam bulan ini, usahawan diberi kelonggaran antaranya diskaun sewa dan cukai kediaman serta penangguhan bayaran balik pinjaman bagi Skim Industri Kecil dan Sederhana.
“Ketika ini mereka diberi pengecualian dan penangguhan selama enam bulan bermula Mac sehingga September ini,” ujarnya.
Tambahnya, RM20 juta juga disalurkan melalui Skim Kredit Mikro bagi menampung permohonan pinjaman usahawan industri kecil dan sederhana sedia ada.
Untuk itu, mereka boleh memohon melalui pihak kementerian, bank-bank terpilih dan melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Sementara itu bagi Mohamad Ghazali Mohamad Sula yang merupakan pengusaha kek lapis, inisiatif diumumkan kerajaan negeri ini sedikit sebanyak membantu meringkan beban usahawan negeri itu.
“Ini merupakan waktu yang sangat mencabar buat semua usahawan kerana memang menjejaskan pendapatan kami.
“Justeru dengan penangguhan bayaran pinjaman perniagaan ini memang satu perkara yang disambut baik oleh para usahawan," katanya.
Perkara sama dikongsi oleh seorang jurumekap, Hana Bakri yang berkongsi kelegaannya selepas mendengar pengumum tersebut pada Isnin.
“Sekurang-kurangnya kini saya boleh menarik nafas lega kerana apa yang penting ketika ini adalah tanggungjawab saya kepada pekerja dapat disempurnakan seperti biasa.
“Menerusi penangguhan ini ia boleh beri ruang untuk saya atasi kerugian dengan baik tatkala kejatuhan mendadak hasil jualan ketika ini," ujar Hana
Antara lain, penjaja pasar malam dan tamu juga mendapat diskaun untuk sewa dan cukai kediaman serta pengecualian bayaran permit dan lesen niaga.
#COVID-19 #Kuching #Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak #perintah kawalan pergerakan #Sarawak #SEDC #Skim Kredit Mikro
;