Usahawan hartanah tempatan kongsi strategi ketika pandemik COVID-19

Fareez Azman
Mac 25, 2020 17:49 MYT
Ketua Pengarah Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin kongsi bagaimana strategi Hi Home dotCom ketika krisis Pandemik Covid-19 di negara ini. Gambar: Radzi Tajuddin
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, pelbagai sektor perniagaan terjejas terutamanya industri hartanah yang turut mengalami detik sukar ketika ini.
Bagi Ketua Pengarah Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berpendapat meskipun menghadapi waktu sukar, krisis yang dihadapi ketika ini boleh dijadikan peluang meningkatkan jenama sesebuah syarikat.
Katanya, sebagai pengusaha, pelbagai inisiatif telah dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
"Sekatan selama sebulan ini amat memberikan impak kepada syarikat saya terutamanya kita sebagai syarikat teknologi hartanah yang membantu pemilikan rumah rakyat Malaysia. Ketika dalam krisis ini orang tidak beli rumah, kita dah jangkakan.
"Apa kami boleh buat sekarang adalah bina 'brand-awareness' untuk tempoh krisis ini. Kedua adalah bagaimana kita bangkit semula selepas krisis ini tamat, saya yakin kerajaan akan memutuskan pakej ransangan ekonomi, mengambil berat industri hartanah dan bagaimana untuk memangkin semula industri ini dengan memperkenalkan langkah-langkah atau polisi untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk beli rumah," kata yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Hi HOME, sebuah syarikat pemasaran hartanah online.
Selain jualan, sudah tentu pemasaran sesebuah produk hartanah terbatas selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Jelas Radzi, pihaknya turut memperkenalkan sistem kerja sementara iaitu ' Cross Division Job Scope' bagi beberapa divisyen syarikat yang tidak praktikal mengguna pakai sistem bekerja dari rumah.
"The beauty of working from home, kita tidak terikat kepada masa 9.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Jumaat. Di Hi-Home, kami bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Kalau ada kakitangan wanita atau lelaki yang ada urusan, kita faham tetapi apa yang kita fokuskan adalah 'demand and return' hingga malam kita masih bekerja, berdiskusi, menggerakkan sesetengah polisi dan sebagainya.
"Secara perinciannya di Hi Home, terdapat beberapa pekerja divisyen tidak boleh berfungsi terus, contoh kakitangan pemasaran dapat membuat jualan. Beli rumah ini bukan macam di platform beli-belah atas talian, masih perlukan sentuhan manusia.
"Bagi kakitangan kita tidak dapat ke lapangan, kita perkenalkan 'cross division job scope', macam pemasaran dan penjenamaan kita lipat gandakan usaha di mana setiap orang ada peranan masing-masing dan ini masa untuk uji kepercayaan kita laksanakan tugas diberikan demi mencapai objektif ditetapkan," kata Radzi
Justeru jelasnya, sepanjang tempoh bekerja dari rumah, setiap industri terutamanya bidang hartanah perlu terus memastikan perbincangan serta mesyuarat terus dijalankan menerusi platform digital.
#Asia #Bekerja Dari Rumah #COVID-19 #hartanah #Hi Home dotCom #kongsi #koronavirus #Malaysia #pemasaran #penjualan #perintah kawalan pergerakan #rumah #syarikat #Tips
;