Usahawan Bumiputera perlu lebih proaktif, progresif tingkatkan kemahiran - Abdul Latiff

Bernama
Januari 7, 2022 04:57 MYT
Abdul Latiff berkata beliau percaya program tersebut berupaya mencungkil bakat serta membina kapasiti para usahawan Bumiputera untuk bersaing di tahap global. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Usahawan Bumiputera perlu lebih proaktif dan progresif dalam meningkatkan kemahiran perniagaan dan industri masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Beliau berkata Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat pemula niaga Bumiputera untuk meningkatkan pembangunan negara dan justeru itu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah memainkan peranan penting sebagai penyelaras utama agenda ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bertrajektori tinggi melalui program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB).
"Pada skala global, nilai startup (pemula niaga) mencecah US$3 trilion, setara dengan keluaran dalam negara kasar ekonomi negara-negara Kumpulan 7 (G7).
"Tambahan pula, Malaysia mendapat skor 10 dari segi prestasi dan jangkauan pasaran dalam Global Start-Up Ecosystem Report 2020 (GSER 2020)," katanya semasa majlis Sesi Pengiktirafan Pemenang SUPERB 2021 secara dalam talian, pada Sabtu.
Mengenai SUPERB, Abdul Latiff berkata beliau percaya program tersebut berupaya mencungkil bakat serta membina kapasiti para usahawan Bumiputera untuk bersaing di tahap global.
Menurut TERAJU, lebih 62 peratus produk dan perkhidmatan daripada 208 usahawan SUPERB telah berjaya dikomersialkan di pasaran tempatan serta antarabangsa sejak program itu dilancarkan pada tahun 2014.
Sehubungan itu, katanya, satu rangkaian Keluarga Teraju akan diwujudkan dengan kesemua usahawan SUPERB supaya mereka dapat mencari rakan kongsi bumiputera yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi meningkatkan perniagaan.
Sementara itu, Ketua pegawai eksekutif TERAJU Md Silmi Abd Rahman berkata seramai 19 pemenang SUPERB 2021 memenangi dana sehingga RM 500,000 bagi peringkat pengkomersialan manakala empat pemenang pada peringkat penciptaan idea dengan dana sehingga RM 100,000 dengan peruntukan keseluruhan sejumlah RM 11.5 juta.
"TERAJU akan mengikuti perkembangan mereka seperti yang telah kami lakukan dengan 208 pemenang SUPERB sebelum ini supaya kami sentiasa dapat memberi sokongan dan peluang rangkaian melalui program serta rakan kongsi sedia ada," katanya.
Tambahnya, ia juga menyokong hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), intipati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan tumpuan utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
-- BERNAMA
#usahawan bumiputera #kemahiran #Abdul Latiff Ahmad #perniagaan
;