Usaha vaksinasi pekerja sektor penting sedang dipergiat - Khairy
Afiezy Azaman
Julai 3, 2021 14:51 MYT
Julai 3, 2021 14:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pekerja sektor penting yang dibenarkan beroperasi sewaktu Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara terdedah kepada jangkitan COVID-19.
Sehubungan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sedang mempergiatkan usaha vaksinasi dengan sasaran 300,000 pekerja divaksin dalam beberapa minggu mendatang.
“Beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi melibatkan sektor penting ekonomi seperti pembuatan, pengangkutan, pembinaan dan perladangan.
“Golongan dalam sektor ini masih perlu keluar bekerja sekali gus terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.
“Untuk itu, kita akan terus mempergiat usaha vaksinasi kepada mereka dengan sasaran 300,000 pekerja divaksinasi dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya dalam video dimuat naik di Twitter, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu berkata, kemungkinan besar COVID-19 akan menjadi endemik.
Kerajaan katanya sedang mengkaji keperluan vaksinasi yang kemungkinan perlu dilakukan secara berkala disertai suntikan ketiga vaksin atau ‘booster shots’.
“Kita sedang memantau dan meneliti data-data keberkesanan vaksin lebih-lebih lagi dalam keadaan penularan varian Delta dan varian lain.
“Seperti negara lain, kita sedang mengkaji sekiranya terdapat keperluan untuk memberikan suntikan tambahan atau booster shots yang ketiga.
“Besar kemungkinan COVID-19 akan terus ada dan menjadi endemik..serta memerlukan vaksinasi berkala seperti mana suntikan selesema,” ujarnya lagi.
#Khairy Jamaluddin
#ekonomi
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#COVID-19
#vaksin
#suntikan
#jangkitan
#Sains