Usaha pulihara bangunan bersejarah perlu lebih serius - Pakar

Bernama
Julai 25, 2024 04:00 MYT
Zuraini berkata usaha itu sangat penting dan perlu diteruskan dengan lebih serius agar nilai sesebuah bangunan bersejarah melalui seni bina dan estetikanya terus dipulihara. - Foto Universiti Malaya
KUALA LUMPUR: Usaha memulihara bangunan bersejarah di Malaysia bukan sahaja untuk mengekalkan bukti fizikal identiti dan budaya sesuatu bangsa, sebaliknya turut menunjukkan kemajuan sesuatu bangsa tersebut.
Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Malaya Zuraini Md Ali berkata usaha itu sangat penting dan perlu diteruskan dengan lebih serius agar nilai sesebuah bangunan bersejarah melalui seni bina dan estetikanya terus dipulihara.
"Bila kita lihat sesuatu bangunan bersejarah itu, pada masa yang sama kita boleh menyingkap sejarah. Melalui reka bentuk bangunan itu sendiri, kita boleh wujudkan perkaitan bagaimana sesuatu bangunan itu berubah daripada satu era ke satu era yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Khamis.
Zuraini berkata melalui Akta Warisan 2005 (Akta 645) sesebuah bangunan bersejarah tidak hanya dinilai menerusi usia bangunan sahaja tetapi turut melihat kriteria lain antaranya kepentingan sejarah, reka bentuk dan estetika, pembaharuan atau pencapaian saintifik serta aspek teknikal.
Beliau berkata usaha memelihara bangunan bersejarah yang telah digerakkan tokoh-tokoh terdahulu seperti oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara Pertama Tan Sri Mubin Sheppard, telah mencipta inisiatif awal dalam usaha memelihara bangunan-bangunan yang usang dan terbiar, tetapi mempunyai nilai seni bina.
"Selain nilai teknologi, ilmu dan bangunan itu juga memberi impak kepada warisan sesuatu tempat terutama daripada segi ekonomi.
"Usaha memulihara bangunan-bangunan sebegina juga boleh memberi inspirasi kepada orang ramai untuk bersama mengekalkan seni bina bangunan bersejarah ini," katanya.
-- BERNAMA
#universiti malaya #bangunan bersejaran #seni bina #Akta Warisan 2005
;