Usaha perangi COVID-19 tanggungjawab bersama - Permaisuri Agong
Bernama
Oktober 7, 2020 19:06 MYT
Oktober 7, 2020 19:06 MYT
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah menegaskan usaha memerangi pandemik COVID-19 adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik.
Justeru, baginda menyeru rakyat agar bersatu untuk memastikan penularan pandemik itu dapat dibendung dengan jayanya.
"Beta nasihatkan seluruh rakyat untuk tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap pematuhan tatacara kebiasaan baharu, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal serta duduk di rumah atau mengelakkan berada di lokasi yang sesak jika tiada keperluan," titah baginda.
Titah baginda itu dimuat naik menerusi hantaran laman Facebook rasmi Istana Negara.
Tunku Azizah bertitah demikian pada Majlis Taklimat Khas Pencegahan dan Kawalan COVID-19 di Istana Negara di sini hari ini yang berlangsung selama dua jam bermula 2 petang.
Majlis diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas inisiatif dan cetusan idea Tunku Azizah.
Taklimat yang dibahagikan kepada dua sesi itu dihadiri 62 pegawai serta kakitangan Istana Negara.
Sesi pertama bertajuk 'Jangkitan COVID-19 dan Implikasi Terhadap Kesihatan' dikendalikan oleh Pegawai Perubatan dan Penyakit Berjangkit HKL Dr Khairil Erwan Khalid manakala sesi kedua bertajuk 'Pencegahan COVID-19' pula dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan HKL Nazlee Mohd Zin.
Para pegawai dan kakitangan Istana Negara yang hadir merupakan mereka yang berisiko tinggi kerana berkhidmat rapat dengan Seri Paduka berdua.
Mereka termasuk 14 kakitangan yang telah disahkan positif COVID-19 dan menjalani rawatan pada Mac lalu.
Taklimat itu juga bertujuan memberikan pegawai dan kakitangan Istana Negara pemahaman serta kepekaan yang tinggi terhadap ancaman pandemik COVID-19 selain menyahut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan.
-- BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong
#Tunku Hajah Azizah Maimunah
#pandemik
#COVID-19
#Istana Negara
#Kementerian Kesihatan
#koronavirus