Usaha perangi COVID-19 kukuhkan perpaduan rakyat Malaysia - Halimah
Bernama
Mei 22, 2020 05:47 MYT
Mei 22, 2020 05:47 MYT
Usaha yang dilakukan oleh semua pihak dalam memerangi wabak COVID-19 telah mengetepikan jurang pemisah antara rakyat Malaysia dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi perpaduan yang telah sedia terjalin.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam kenyataan pada Jumaat berkata, ini termasuk usaha yang dilakukan oleh mereka, sama ada yang bekerja di barisan hadapan atau yang duduk mengasingkan diri di rumah.
"Kita dapat merasakan kebersamaan semua pihak yang bersatu hati dan bersemangat dalam menjayakan usaha memutuskan rantaian COVID-19 tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya," katanya.
Tambah Halimah, wabak COVID-19 telah memisahkan rakyat Malaysia bukan sahaja melalui jarakan sosial, malah mereka diminta duduk di rumah dan tidak dibenarkan bertemu dengan sesiapa pun tanpa urusan yang penting, namun ia adalah secara zahirnya sahaja.
Katanya rakyat Malaysia yang sedang menyesuaikan diri dengan normal hidup baharu ekoran wabak COVID-19 perlu mengekalkan nilai-nilai baik dan terus bersatu hati dalam memelihara perpaduan nasional.
Beliau juga yakin rakyat Malaysia akan terus memegang teguh semangat perpaduan walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini diraikan secara sederhana.
"Gunakanlah kesempatan Aidilfitri ini untuk mengeratkan silaturahim antara satu dengan yang lain dengan berhubung melalui talian dan teknologi maya sama ada sesama ahli keluarga ataupun sahabat handai," katanya.
Tambah Halimah, pada tahun ini kegembiraan Syawal akan disambut dengan cara baharu, jauh daripada keluarga dan sanak saudara di kampung.
"Ramai yang tidak dapat bersua muka dengan insan-insan tersayang. Kunjung-mengunjung dan berkongsi juadah ketika musim perayaan sememangnya sudah lazim bagi rakyat Malaysia. Kita harus berkorban demi kebaikan semua," katanya lagi.
-- BERNAMA