Usaha padam kebakaran tapak pelupusan sampah guna pesawat APMM

Bernama
Mei 16, 2017 20:31 MYT
Kebakaran tersebut masih mengeluarkan asap tebal yang menjejaskan kawasan kediaman terdekat di Presint 15, Putrajaya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. -Gambar hiasan
Kerja pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Limau Manis, Sungai Merab, Sepang, Selangor yang terbakar sejak Ahad lepas masih diteruskan termasuk menggunakan pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebuah pusat operasi pemadaman turut diwujudkan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Putrajaya, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya kebakaran tersebut masih mengeluarkan asap tebal yang menjejaskan kawasan kediaman terdekat di Presint 15, Putrajaya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
"Hasil siasatan mendapati kawasan berkenaan tidak berpagar dan ini memudahkan orang keluar masuk ke kawasan berkenaan. Ini adalah kes kebakaran pertama berlaku di tapak itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Junaidi berkata beliau telah mengarahkan JAS mengeluarkan notis arahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya tapak pelupusan sampah haram itu dikawal bagi mengelak kejadian sama berulang.
Wan Junaidi berkata beliau juga telah mengarahkan JAS untuk membuat siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat pemilikan tanah kawasan tersebut.
Menurutnya keluasan keseluruhan tapak pelupusan sampah haram itu adalah kira-kira 2.3 hektar dan kawasan yang terbakar pula adalah 1.2 hektar.
Wan Junaidi turut mengulangi amaran supaya semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.
Katanya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000.
Mereka juga boleh didakwa mengikut akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, katanya.
Sementara itu, APMM menggunakan pesawat Bombardier CL415 MP miliknya bagi membantu operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram tersebut.
Pengarah Cawangan Operasi Udara APMM, Brig Jen Datuk Rosni Aziz berkata sebanyak 20 curahan air dilakukan bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan memadamkan kebakaran itu.
"APMM berjaya melakukan curahan sebanyak 120,000 liter air ke kawasan kebakaran tersebut yang mana sumber airnya dari Tasik Putrajaya," katanya.
Penerbangan dilakukan Lt Kom (M) Mazlan Ariffin, Lt Kom (M) Muhammad Saad dan dibantu Laskar Kelas 1 (M) Mohd Hisyam Abdullah, bermula pukul 11 pagi tadi dan berakhir 3 petang
"Kru penerbangan tidak menghadapi sebarang kesulitan memandangkan jarak penglihatan masih melebihi 10 kilometer," katanya.
Menurut Rosni, kebakaran berjaya dikawal anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melakukan kerja-kerja pemadaman api di darat.
-- BERNAMA
#JAS #Kampung Limau Manis #pemadaman api #Sungai Merab #tapak pelupusan sampah haram #Wan Junaidi
;