Usaha naik taraf pusat penjaja Bandar Sri Permaisuri selesakan pengunjung
Bernama
September 10, 2023 11:54 MYT
September 10, 2023 11:54 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan menaik taraf pusat penjaja di Bandar Sri Permaisuri di sini termasuk pemasangan bumbung tambahan di ruang terbuka hadapan setiap premis telah memberikan keselesaan kepada pelanggan yang menikmati makanan di medan selera tersebut.
Malah, rata-rata penjaja di situ menyatakan jualan mereka turut meningkat sebanyak 10 peratus selepas pertambahan sekali ganda ruang tempat duduk untuk pelanggan di bawah bumbung tambahan yang baru dipasang itu berbanding sebelum ini, memuatkan 36 kerusi sahaja.
Bumbung tambahan yang dianggarkan berukuran 15 meter (m) lebar dan 155 m panjang itu siap sepenuhnya dipasang oleh pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira Julai lepas, selepas dua bulan proses pemasangannya dilakukan.
Pemilik gerai Sup Meletup, Zolkhoari Abdul Aziz berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana permohonannya telah diluluskan dalam kadar segera.
"Saya dan peniaga di sini merasakan ada satu kebangkitan yang bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan untuk bantu, walaupun sebelum ini sudah banyak kali permohonan dibuat sejak pusat penjaja itu beroperasi 10 tahun lepas.
"Jadi, kami rasa sangat bertuah atas keprihatinan beliau (Anwar) yang datang berkunjung ke pusat penjaja ini pada Disember tahun lepas dan segera menyelesaikan masalah (permohonan) yang telah lama tertangguh sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, pada Februari lepas Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kios sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.
Pada 4 Sept lepas, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur pada majlis pelancaran program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D'Medan Selera MADANI di Kompleks Tun Sambanthan di sini.
Seorang pengunjung di pusat penjaja itu, Khairani Ishak berkata penambahbaikan itu adalah satu langkah yang tepat kerana ia antara lokasi tumpuan untuk pengunjung datang makan bersama keluarga atau rakan kerana menu yang pelbagai dan harga yang berpatutan.
"Sebelum ada bumbung tambahan ini, kawasan untuk makan agak sempit, ditambah pula cuaca yang agak panas apatah lagi pada waktu puncak seperti makan tengah hari yang agak ramai, tapi bila ada kemudahan ini ia lebih menyenangkan untuk sesiapa yang makan di sini," katanya.
Bagi peniaga tomyam, Mohd Saddam Ali berkata beliau berharap supaya permohonan pembesaran ruang parkir yang dikemukakan sebelum ini juga dapat dipertimbangkan kerana jumlah sedia ada tidak mencukupi dan sering diguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata kawasan parkir baharu perlu dibina di ruang tanah yang kosong bersebelahan dengan kawasan parkir pusat penjaja tersebut, namun ia masih tidak dapat dilakukan kerana kawasan tersebut berstatus sebagai kawasan hijau.
"Ruang parkir awam yang sekarang ada 64 petak, ia dikhususkan untuk pengunjung pusat penjaja, tapi ia belum mencukupi. Ada pemilik pangsapuri berhampiran sewenang-wenangnya memarkir kenderaan mereka di sini sekali gus menyusahkan pelanggan yang mahu berkunjung makan di sini," katanya.
-- BERNAMA