Usaha mengesan mangsa insiden bot mewah karam diteruskan - APMM

Adie Sufian Zulkefli
September 17, 2016 16:23 MYT
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih lagi meneruskan pencarian Lucas Bondezan, 24 tahun, dari Brazil yang masih lagi belum ditemukan. -Gambar hiasan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih meneruskan lagi usaha mengesan seorang mangsa insiden bot mewah karam yang dilaporkan hilang sejak Jumaat.
Pencarian ditumpukan di kawasan 10 batu nautika dari lokasi terakhir bot karam.
Pengarah Maritim Wilayah Utara APMM, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih lagi meneruskan pencarian Lucas Bondezan, 24 tahun, dari Brazil yang masih lagi belum ditemukan.
Beliau memaklumkan, kumpulan SAR turut dibantu pasukan gerakan polis marin dan usaha mengesan mangsa terakhir itu akan diteruskan sehingga menemui jasad atau sebarang petunjuk baharu.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat, tiga pelancong warga Eropah yang juga anak kapal sebuah bot mewah cedera manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas kapal dinaiki mereka meletup lalu terbakar di tengah laut berhampiran Muka Head di Pulau Pinang.
Bot mewah itu dipercayai meninggalkan pelabuhan Langkawi menuju Singapura sekitar jam 7 malam Khamis.
Kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian enjin bot sebelum ia meletup dan karam.
APMM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima isyarat kecemasan satelit dari bot berkenaan kira-kira jam 12.05 pagi Jumaat.
Bagaimanapun tiga warga Eropah yang cedera berjaya diselamatkan sebuah kapal nelayan tempatan ketika rakit yang mereka naiki hanyut kira-kira jam 3 pagi.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #bot mewah karam #SAR #Tan Kok Kwee
;