Usaha mengesan Jho Low: 'Bukan PDRM yang sabotaj' - KPN
Shahrul Hassan
Oktober 13, 2018 15:13 MYT
Oktober 13, 2018 15:13 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pasti pihak mana yang terlibat dalam mensabotaj usaha mengesan Low Taek Jow atau Jho Low.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, yang pasti, PDRM tidak terlibat dalam sabotaj yang didakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Malah, kata Mohamad Fuzi, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan kedudukan ahli perniagaan berusia 37 tahun itu dengan meminta bantuan dari Polis Antarabangsa (Interpol).
Yang terbaharu, Mohamad Fuzi berkata dia sendiri telah menulis surat rasmi kepada Presiden Interpol dan Setiausaha Agung Interpol berhubung perkara itu.
"Saya pun tidak pasti pihak mana yang sabotaj. Setahu saya, PDRM tidak terlibat dengan perkara ini. Kita pun sedang mengesannya (Jho Low) dan telah banyak kali hantar data kepada Interpol.
"Walaupun ada masalah teknikal pada awal penghantaran, namun kita sudah berhubung terus dengan Interpol untuk minta bantu kita mengesan.
"Ketika dia berada di Hong Kong, kita ada hantar pasukan tetapi dia menyelinap ke Macau pula. Dari Macau, kita tidak tahu dia pergi mana. Kita sedang berhubung dengan rakan yang boleh membantu mengesan Jho Low dan bapanya (Tan Sri Larry Low Hock Peng)," kata Mohamad Fuzi di sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa terdapat tindakan sabotaj dalam kerajaan yang menyukarkan usaha mengesan dan memberkas Jho Low.
Jho Low dan kini bapanya menjadi perhatian dunia selepas dikaitkan dengan dakwaan pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sehingga kini, beberapa tindakan diambil untuk menjejaki mereka, termasuk membatalkan pasport antarabangsa milik Jho Low oleh Jabatan Imigresen.