Usaha mengapungkan bot karam masih tidak berjaya
Tunku Nashrul Tunku Abaidah
Jun 5, 2013 19:24 MYT
Jun 5, 2013 19:24 MYT
Usaha mengapungkan bot ekspres Kawan Mas yang karam di Tanjong Giam Bungan masih tidak berjaya pada hari ke sembilan operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi itu.
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata ini adalah kerana penutupan aliran air dari empangan hydroeletrik Bakun sejak Selasa.
“Bot itu bukan sahaja gagal diapungkan, malah usaha itu semakin sukar apabila satu-satunya tali pelampung yang digunakan untuk mencangkut kabel di bot berkenaan putus.
“Kegagalan itu juga disebabkan paras air sungai yang masih tidak surut seperti yang dijangka. Selain itu arus air juga masih deras sekali gus menyukarkan operasi petugas keselamatan,” katanya.
Beliau berkata usaha mencangkut kabel tersebut dilakukan pasukan unit penyelam sejak 9 pagi.
“Operasi pada hari ini melibatkan 40 anggota keselamatan dari polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.
Dalam pada itu, Bakar turut mengesahkan terdapat pertambahan bilangan penumpang selamat dalam kejadian bot karam tersebut.
“Dua orang lelaki masing-masing dari Kapit dan Belaga telah disahkan berada dalam bot berkenaan sewaktu insiden itu berlaku.
"Jadi jumlah mereka yang terselamat kini adalah meningkat kepada 207 orang. Kedua-dua lelaki ini bernama Anggas Anak Baloh dan Joseph Lawai,” katanya.
Sebelum ini kedua-dua lelaki itu telah membuat laporan polis.
Namun pihak polis ketika itu perlu menyiasat terlebih dahulu kesahihan laporan tersebut sebelum nama mereka disenaraikan.
Klik video untuk berita selanjutnya.