Usaha mencari Wan Mohd Hadi masih temui jalan buntu

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 13, 2022 17:11 MYT
Pasukan mencari memberi penerangan kepada keluarga Hadi selepas operasi mencarinya hari ini sebelum memutuskan untuk menghentikan usaha tersebut sehingga ada petunjuk baharu. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Usaha pencarian seorang lelaki yang dikatakan menghidap skizofrenia (kecelaruan mental), Wan Mohd Hadi Wan Ismail, 41, dilaporkan hilang di Sungai Kandis, Shah Alam sejak 26 Januari lalu masih menemui jalan buntu.
Biarpun lebih tujuh bulan berlalu sejak kehilangannya, harapan keluarga serta usaha menjejaki Hadi tidak pernah pudar.
Hari ini usaha tersebut sekali lagi dilancarkan membabitkan pelbagai pihak termasuk pasukan polis dan bomba membabitkan 48 anggota serta penduduk kampung di sekitar kawasan yang dikatakan kali terakhir Hadi berada.
Pasukan mencari tersebut turut menggunakan perkhidmatan anjing pengesan K9 di sekitar kawasan kampung berkenaan dalam radius 300 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
Bagaimanapun, usaha berkenaan tidak menemui sebarang petunjuk keberadaan lelaki berkenaan.
Walaupun hampa, keluarga Hadi bagaimanapun reda dan tidak akan berputus asa untuk terus berusaha menjalankan pencarian di segenap lokasi dengan harapan lelaki berkenaan akhirnya akan ditemui satu hari nanti.
“Hari ini kita berharap dapat sesuatu yang boleh beritahu kita apa yang sedang berlaku. Kalau kata hari ini berhasi, sekurang-kurangnya perasaan kita lebih tenang.
“Kita perlu dapat pengesahan sama ada dia masih hidup ataupun sudah meninggal,” kata ayah kepada Hadi, Wan Ismail Wan Abdullah.
Bagaimanapun, pasukan mencari ketika ditemui memberitahu bahawa usaha pencarian Hadi akan dihentikan buat sementara waktu melainkan ada petunjuk baharu yang meyakinkan.
Kisah kehilangan Wan Mohd Hadi Wan Ismail pernah disiarkan oleh Astro AWANI menerusi hasil siri laporan khas oleh Fareez Azman.
BACA: Mana perginya Wan Mohd Hadi? Lelaki menghidap skizofrenia hilang
Wan Mohd Hadi menghidap skizofrenia sejak belasan tahun lagi, hidupnya bagaimanapun normal seperti biasa di bawah pengawasan keluarganya.
Kali terakhir dia dilihat memakai baju lengan panjang berwarna putih dan seluar hitam, serta menggalas beg berwarna merah.
Jelas Wan Ismail, sudah banyak ikhtiar dilakukan dan usaha pencarian sekitar kawasan Shah Alam dengan bantuan orang ramai dan netizen di laman sosial.
#sungai kandis #Astro Awani #Wan Mohd Hadi #bomba
;