Usaha mencari nelayan warga Thailand dikhuatiri lemas diteruskan

Nur Fazlizai Ali
Disember 23, 2021 09:45 MYT
Arus sungai yang deras menyukarkan pasukan penyelamat untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. - Astro AWANI
DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan warga Thailand yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sebuah bot yang berlabuh di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dungun, Terengganu perluaskan di kawasan muka kuala dan Sungai Dungun.
Operasi mencari dan menyelamat disambung kira-kira jam 7 pagi ini membabitkan seramai 30 anggota serta pegawai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan RELA, dibantu nelayan tempatan.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Toleh Juemae, 31 tahun, dipercayai diserang sawan ketika berehat di bahagian belakang bot dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada Rabu.
"Semasa kejadian, saksi ada nampak mangsa mulutnya berbuih dan kita percaya mangsa menghadapi penyakit sawan," katanya.
Menurut Baharudin, keadaan arus sungai yang deras menyukarkan pasukan penyelamat untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, tekong bot Ariffin Ismail, 55 tahun, berkata dia dan beberapa rakan berusaha menyelamatkan mangsa namun gagal.
"Kalau dia (mangsa) timbul sekali lagi, saya kira nak terjun, nak ambil. Tetapi, dah tenggelam tak timbul-timbul.
"Saya cuba ambil tali, ikat di pinggang saya. Lebih kurang dalam 30 depa talinya. Dan saya terus terjun.
"Tetapi air terlalu deras. Jadi, saya pun naiklah. Tak berani, takutlah, laju sangat air," katanya.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sambilan di botnya sejak dua hari lalu berhasrat mencari pendapatan untuk pulang ke kampung halamannya di Thailand.
#lemas #nelayan #mencari dan menyelamat #bot
;