Usaha mencari mangsa tragedi bot karam diperluas termasuk pencarian di udara

Nur Fazlizai Ali
Ogos 12, 2024 01:30 MYT
Sektor pencarian di laut turut diperbesarkan merangkumi jarak 67 batu nautika persegi manakala keluasan bagi pencarian udara menjangkau sehingga 195 batu nautika persegi. - Gambar ihsan Maritim Malaysia
KEMAMAN: Pencarian baki dua lagi mangsa tragedi bot karam di perairan Kemaman diperluaskan dengan skala yang lebih besar dan pencarian turut dilakukan menerusi udara.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, seramai 50 kekuatan digerakkan dalam operasi yang bersambung jam 7 pagi tadi termasuk orang awam.
Katanya, usaha pencarian seorang mangsa lelaki dan seorang wanita itu juga masih tertumpu di sekitar perairan Kemaman dan Kijal.
Jelasnya, tiga aset laut, dua buah pesawat Maritim Malaysia dan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan dalam usaha mengesan mangsa.
Beliau berkata, sektor pencarian di laut turut diperbesarkan merangkumi jarak 67 batu nautika persegi manakala keluasan bagi pencarian udara menjangkau sehingga 195 batu nautika persegi.
Pada Ahad, sebuah bot nelayan karam selepas dirempuh sebuah tongkang dalam kejadian kira-kira 7 batu nautika dari perairan Kemaman.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan Shahril Ismail, 50, ditemukan lemas kira-kira jam 7 pagi dan 1 petang.
Dua yang masih hilang ialah Yusoff Kassam dan Aina Husna.
Sementara lima yang selamat ialah Rosnawi Harun, 50; tekong bot, Saipul Ridzuan Osman, 50, Mat Ali Alahan,66, Haziah dan Ain Farhana.
#bot karam #perairan kemaman #pencarian di udara #Maritim Malaysia