Usaha mencari dan menyelamat mangsa bot karam diteruskan

Bernama
Februari 18, 2017 14:35 MYT
Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata operasi pencarian melibatkan tujuh aset, termasuk satu aset milik agensi keselamatan Brunei. Gambar fail
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa tragedi bot pelancong yang karam dan masih hilang di perairan Sabah belum menemukan petunjuk baharu dalam operasi yang masuk hari ke-22 hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata sektor pencarian kini meliputi kawasan seluas 300 batu nautika persegi di perairan Sabah, Miri (Sarawak) dan Brunei.
"Operasi pencarian melibatkan tujuh aset, termasuk satu aset milik agensi keselamatan Brunei," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini, 26 mangsa sudah dijumpai termasuk empat yang maut.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #bot karam #bot pelancong #katamaran #Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som #Pulau Mengalum #Sabah
;