Usaha membuka pintu sempadan perlu dilihat dengan teliti - Dr Shamsul Bahari

Astro Awani
Februari 2, 2022 22:42 MYT
Penilaian risiko perlu dilakukan bagi mengelak kemasukkan varian-varian COVID-19 dari luar ke negara ini akibat pembukaan pintu sempadan. - Gambar Facebook Shamsul Bahari
KUALA LUMPUR: Usaha membuka pintu sempadan negara perlu dilihat dengan teliti dan menggunakan fakta-fakta yang ada sebelum dilaksanakannya.
Menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan UMS, Prof Madya Ts Dr Shamsul Bahari Shamsudin, usaha membuka pintu sempadan perlu dibuat dengan tujuan yang khusus.
Jelas beliau, penilaian risiko perlu dilakukan bagi mengelak kemasukkan varian-varian COVID-19 dari luar ke negara ini akibat pembukaan pintu sempadan.
Dr Shamsul menasihatakan agar pemimpin dan rakyat sentiasa fokus dan bersiap siaga dengan perancangan yang teliti sebelum membuka sempadan.
"Tentang usaha kerajaan untuk pembukaan sempadan, itu perlu dilihat dengan lebih teliti berasakan maklumat dan fakta yang ada.
"Kalau kita lihat perancangan untuk membuka sempadan perlu dengan tujuan khusus, kita tidak mahu dengan adanya COVID-19 ini akan memberi kesan kepada rakyat.
"Ini perlu dilihat tujuannya, apakah ia melibatkan sektor ekonomi yang penting dan genting kepada negara, jadi perkara ini perlu dilihat dengan teliti," katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu yang bertajuk Buka Sempadan, Bersediakah Kita?
Beliau juga berpendapat, penilaian risiko untuk membuka sempadan sepatutnya telah dilaksanakan tiga bulan lebih awal sebelum pintu sempadan dibuka.
Jelas Dr Shamsul, penilaian risiko lebih awal ini sangat penting kerana ia akan menjadi data dalam membuat keputusan untuk membuka pintu sempadan.
"Kalau kita ingin benar-benar membuka pintu sempadan negara, kita perlu melihat secara menyeluruh aktiviti pengenalpastian, penilaian, pelaporan risiko setiap agensi dan sektor yang terlibat," katanya lagi.
Dr Shamsul menjelaskan laporan penilaian risiko ini perlu dihantar kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan keputusan membuka sempadan dibuat.
Namun jelas beliau, perkara-perkara yang disebutkannya itu tidak dilaksanakan sebaliknya hanya membuat keputusan berdasarkan maklumat yang terhad.
#pintu sempadan #fakta #maklumat #Penilaian risiko #teliti #COVID-19
;