Usaha MBSP ubah imej Butterworth sebagai bandar yang ada 'jiwa', jadi tumpuan pelancong

Astro Awani
November 22, 2019 13:50 MYT
Usaha transformasi di Butterworth adalah termasuk menukar wajah bangunan lama dengan sentuhan lukisan mural dan 3D seperti dilaksanakan di Butterworth Art Walk.
Selepas beberapa tahun suram, Butterworth yang pernah menjadi pusat pentadbiran Seberang Perai suatu ketika dulu akan dibangunkan semula sebagai bandar yang mempunyai 'jiwa'.
Usaha transformasi itu termasuk menukar wajah bangunan lama dengan sentuhan lukisan mural dan 3D seperti dilaksanakan di Butterworth Art Walk tiga tahun lalu sehingga menjadi lokasi pelancongan.
Projek tiga fasa itu adalah kolaborasi di antara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Think City Sdn Bhd dan Zart Eventive Sdn Bhd di bawah Program Butterworth Baharu.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, Butterworth Art Walk merupakan inisiatif untuk meningkatkan imej persekitaran yang hijau dan indah dengan identiti perbandaran selari dengan objektif menjadikan Butterworth sebagai Bandar Seni dan Budaya.
Projek pengindahan tersebut termasuk 45 lukisan mural yang memaparkan sejarah Butterworth sejak 1843 dan 10 arca di belakang bangunan Lorong Bagan Luar 1 hingga Lorong Bagan Luar 3.
"Fasa pertama menunjukkan imej-imej yang asalnya di Butterworth macam gajah. Dulu Butterworth dia tempat pertunjukan sarkas dari China, dari Russia (penganjur) bawa gajah dan sebab itu (di Butterworth) ada Kampung Gajah.
"Ada juga imej sawah padi (kerana) di Butterworth (masih) ada lagi sawah padi, dalam pekan (bandar) pun ada sawah padi (suatu masa) dulu," kata beliau.
Selain imej gajah dalam bentuk poligon, ada juga imej setem Straits Settlement yang digunakan Negeri-negeri Selat pada 1876, imej pokok tebu dan imej silat Melayu.
Menurut Rozali, projek fasa kedua Butterworth Art Walk akan menonjolkan kepentingan air untuk minuman dan pengairan manakala fasa ketiga pula memaparkan Butterworth sebagai hab pengangkutan dan zon perindustrian sekali gus menjadi bandar yang mempunyai 'jiwa'.
Bagi terus 'menghidupkan' bandar Butterworth, beberapa program turut diadakan dari semasa ke semasa antaranya Festival Pinggiran Butterworth dan 'Fun Walk' untuk merancakkan kegiatan seni dan budaya.
#Bandar Seni dan Budaya #Butterworth #Butterworth Art Walk #lokasi pelancongan #lukisan mural #pelancongan #Rozali Mohamud
;