Usaha Malaysia lesenkan platform media sosial tarik perhatian banyak negara - Fahmi

Bernama
Ogos 8, 2024 04:17 MYT
Fahmi berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi 2023 (Zon Sarawak), di Kuching, hari ini. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Usaha Malaysia untuk melesenkan platform media sosial telah mendapatkan perhatian beberapa negara yang menyatakan minat untuk menuruti langkah berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK), Ofcom, menjadi antara yang menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan pelaksanaan inisiatif itu.
"Pihak Singapura juga ada bertanya mengenai proses pelesenan itu, (namun) penting untuk diingatkan bahawa lain negara mempunyai lain cara (pelaksanaan) mengikut undang-undang terpakai di negara tersebut.
"Saya percaya bila kita mempengerusikan ASEAN 2025, lebih banyak (negara) yang akan ingin mengetahui pencapaiannya dan apa yang telah berjaya kita lakukan berdasarkan proses pelesenan yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2025," katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 zon Sarawak, di sini hari ini.
-- BERNAMA
#lesen media sosial #Fahmi Fadzil #Ofcom #MCMC