Usaha Malaysia lahirkan pemenang Anugerah Nobel akan diperhebat - MOSTI

Bernama
Jun 24, 2024 07:40 MYT
Chang menyampaikan ucapan pembukaan pada Syarahan Pemenang Anugerah Nobel oleh Sir Paul Nurse di MATRADE, Kuala Lumpur, 24 Jun 2024. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia melahirkan pemenang Anugerah Nobel akan diperhebatkan dengan merancakkan lagi ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi membolehkan negara merealisasikan impian itu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.
Katanya, program mencari pemenang Anugerah Nobel itu merupakan harapan dan sasaran pihaknya dalam melahirkan saintis muda negara berpengalaman dan sebaris dengan saintis luar negara yang menerima anugerah berprestij tersebut.
"Sebelum kita hendak memasuki pencalonan anugerah tersebut, kita (MOSTI) kena pastikan, kita ada ekosistem sains yang rancak. Sebab itu, Akademi Sains Malaysia (ASM) telah mengadakan pelbagai program dalam mencari pemenang berkenaan seperti penganjuran syarahan, perbincangan saintifik dan sesi libat urus bersama bekas pemenang Anugerah Nobel," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Syarahan Pemenang Anugerah Nobel oleh penerima Anugerah Nobel ke-25 (2001), Sir Paul Nurse, di sini, semalam.
Chang berkata Kementerian Pengajian Tinggi menerusi universiti tempatan juga sedang melaksanakan inisiatif dalam memupuk pemikiran Pemenang Anugerah Nobel, berpandukan laporan kajian 'Achieving Excellence in Science- The Nobel Path'.
Selain itu, beliau berkata MOSTI amat berdedikasi untuk mewujudkan persekitaran di mana penyelidikan dan inovasi yang berinovatif dapat berkembang maju sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang STI.
-- BERNAMA
#MOSTI #saintis negara #Anugerah Nobel #Chang Lih Kang
;