Usaha lahir masyarakat quranik bukan retorik - Ahmad Zahid
Bernama
April 6, 2018 04:48 MYT
April 6, 2018 04:48 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha kerajaan melahirkan masyarakat quranik atau berminda al-Quran adalah agenda yang berkesinambungan dan bukan suatu retorik.
Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu bermula daripada penentuan dasar negara yang berpaksikan al-Quran yang kemudiannya dilaksanakan di peringkat negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri, antaranya menyuburkan budaya mencintai kitab suci umat Islam dengan penganjuran pertandingan tilawah dan menghafaz al-Quran.
"Pewujudan pusat pendidikan berteraskan agama seperti sekolah tahfiz adalah bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan budaya mencintai al-Quran dalam kalangan masyarakat.
"Kita percaya golongan quranik yang dibentuk dalam kalangan masyarakat mampu menjadi pencetus perubahan yang akhirnya membentuk penyatuan ummah dalamkalangan masyarakat berbilang agama di negara ini," katanya ketika berucap pada penutupan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-61 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini Jumaat malam.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isterinya Datin Seri Fatmawati Saidin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.
Ahmad Zahid berkata kejayaan menganjurkan tilawah al-Quran yang kini memasuki edisi ke-61 juga merupakan antara bukti komitmen kerajaan dalam membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata pendekatan al-Quran merupakan salah satu medium yang dapat menjana sistem hidup yang syumul dan generasi masa yang mampu mendepani cabaran dalam segala aspek kehidupan.
Bagaimanapun, usaha ini tetap memerlukan sokongan dan dorongan semua pihak selaras dengan kebaikan yang dibawa al-Quran itu sendiri, katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan aplikasi 'Smart Quran' yang merupakan kerjasama pintar Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jakim dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Aplikasi tersebut yang boleh dimuat turun secara percuma melalui perisian IoS dan Android merupakan yang pertama diperakukan oleh Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran, KDN, setelah disemak oleh Jawatankuasa Penyemak dan Penilai Teks al-Quran (Lajnah Tasheh al-Quran) KDN.
Pembangunan aplikasi itu bertujuan memberi penyelesaian kepada isu lambakan aplikasi al-Quran di pasaran yang tidak disemak dan tidak mendapat perakuan daripada pihak berkuasa di negara ini.
Dalam pada itu, qari Kelantan, Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri dan qariah Melaka, Suhailah Zulkifly diumumkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, sekali gus membawa pulang wang tunai RM25,000, piala iringan dan sebuah kereta Proton Ertiga.
--BERNAMA
#agama
#Ahmad Zahid Hamidi
#Al- Quran
#Android
#aplikasi
#dasar negara
#iOS
#Kementerian Dalam Negeri
#menghafaz al-Quran
#minda al-Quran
#quranik
#sekolah tahfiz
#Smart Quran
#tilawah