Usaha kekalkan Pulau Perhentian antara 10 pulau tercantik dunia
Nur Fazlizai Ali
Mac 13, 2021 08:51 MYT
Mac 13, 2021 08:51 MYT
PULAU PERHENTIAN: Majlis Daerah Besut (MDB) akan merangka garis panduan khas pembangunan Pulau Perhentian bagi mengekalkan status pulau peranginan itu sebagai antara 10 pulau tercantik di dunia.
Yang dipertuanya Mohd Rashdan Muda berkata, bagi tujuan itu pihaknya turut mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pengusaha resort dan chalet.
Menurut Mohd Rashdan, sebagai langkah awal, MDB akan meningkatkan penguatkuasaan secara sistematik dan berhemah bagi memastikan semua resort dan chalet di pulau itu memiliki lesen sah serta mematuhi syarat yang ditetapkan PBT.
“Berdasarkan statistik, kira-kira 50% resort di Pulau Perhentian memiliki lesen untuk berniaga yang diluluskan MDB.
“Selebihnya masih belum mempunyai lessen dan kami sedang berusaha memperakukan dan melesenkan mereka ini,” jelasnya.
Menurutnya pihaknya akan membantu pengusaha dalam menyelesaikan isu terbabit dengan kerjasama semua pihak sejajar usaha menaiktaraf MDB kepada majlis perbandaran yang ketiga di Terengganu.