Usaha hidupkan kembali hutan paya bakau bersama komuniti

Bernama
Julai 30, 2023 16:10 MYT
HSRM adalah hutan paya gambut berkeluasan 35,656 hektar dan antara tapak projek bersama komuniti Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara. - Gambar Bernama
Cuaca pada petang 11 Julai lepas membahang panas namun ini tidak mematahkan semangat peserta program penanaman semula hutan paya bakau di Kampung Dato' Hormat, terletak sekitar 22 kilometer dari pekan Sabak Bernam ini.
Di samping lima orang wakil media, seramai 60 peserta daripada 24 wakil kumpulan komuniti dan warga Yayasan Petronas menyertai program sehari Aktiviti Penanaman Pokok 'Walk4Trees Challenge' bersama komuniti anjuran Pusat Alam Sekitar Global (Global Environmental Centre GEC) serta Yayasan Petronas.
Sebelum berkumpul di Surau Al-Khairah, Kampong Dato' Hormat, semua peserta dibawa ke Hutan Simpan Raja Musa (HSRM), terletak di Tanjung Karang sebelum ke Kampung Dato' Hormat untuk program seterusnya.
HSRM adalah hutan paya gambut berkeluasan 35,656 hektar dan antara tapak projek bersama komuniti Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara.
Terletak di pesisiran Sungai Bernam yang menjadi titik sempadan tiga negeri, iaitu Perak, Selangor dan Pahang, hutan bakau di Kampung Dato' Hormat menjadi sebagai penampan zon tebing sungai selain penting untuk aktiviti perikanan bagi menyokong pendapatan penduduk setempat.
Terdapat sekitar 350 orang penduduk di Kampong berkenaan dan kebanyakannya menyara hidup sebagai petani dan nelayan.
Peranan komuniti setempat
Pengurus program hutan dan persisiran pantai GEC Nagarajan Rengasamy memaklumkan, hutan paya bakau Kampung Dato' Hormat diusahakan oleh penduduk kampung itu sejak tahun 2012.
"Eh, basah berlumpur ke tak? Dah la pagi tadi hujan, takut nanti bila kita pijak terjunam ke dalam lumpur tak dapat bangun," seorang rakan media Elena, meluahkan rasa bimbangnya kerana keadaan cuaca tidak menentu pada hari itu.
Kata-kata Elena ada kebenarannya kerana kebanyakan hutan paya bakau adalah hutan tanah lembap yang hanya wujud di kawasan garis pantai terlindung serta muara sungai di negara tropika dan subtropika.
Meskipun begitu, penulis masih teruja untuk melihat sendiri tumbuh-tumbuhan yang ada di dalam hutan paya bakau yang diketahui umum unik kerana sistem akarnya membentuk seolah-olah seperti puluhan jari dan tangan manusia yang mencengkam kuat permukaan tanah yang lembut.
Setibanya di balai raya yang terletak di sebelah Surau Al-Khairah bagi mendengar taklimat program penanaman semula hutan paya bakau di kampung berkenaan, Pengerusi Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Dato' Hormat (SHBKDH), Mohammad Omar Muslim sudah bersedia untuk memberikan taklimatnya.
Menurut Mohammad Omar, lebih daripada 20 hektar hutan paya bakau di perkampungan itu musnah akibat pertanian akuakultur iaitu pembinaan kolam udang terbiar dan pembangunan tidak lestari sejak tahun 2006.
"Ia juga turut menjejaskan sumber perikanan kerana kelembapan dan air itu tidak sampai ke hutan paya bakau menyebabkan ikan semakin berkurangan.
"Kami juga turut risau sekiranya suatu hari nanti hutan bakau di belakang kampung ini tidak dapat dijadikan benteng banjir ketika musim tengkujuh," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa hutan paya bakau di kampung itu berperanan sebagai penampan zon tebing sungai yang penting untuk aktiviti perikanan dalam menyokong pendapatan komuniti tempatan.
"Sejak penubuhan SHBKDH pada tahun 2012, kami bekerjasama dengan GEC, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Pengaliran dan Saliran Sabak Bernam serta Pihak Berkuasa Tempatan untuk memelihara dan mengurus ekosistem hutan paya di sini.
"Sehingga kini, sebanyak 42,600 pokok bakau berjaya ditanam semula di hutan paya bakau berkeluasan 21 hektar di sekitar kawasan ini," katanya menambah, SHBKDH dianggotai 20 ahli terdiri daripada warga emas dan suri rumah B40 dalam lingkungan umur 50 hingga 80 tahun.
Menurut Mohammad Omar, selain memelihara dan memulihara kembali hutan paya bakau, pihaknya juga dapat menjana pendapatan sampingan menerusi kerjasama dengan syarikat korporat untuk sebarang program penanaman pokok.
"Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Yayasan Petronas menerusi GEC sejak tahun 2021 untuk mendapatkan dana dalam pemulihan semula hutan paya bakau, seterusnya turut membina sebuah tapak semaian tidak jauh dari sini," katanya.
Beliau menambah, tapak semaian Kampung Dato' Hormat seluas kira-kira 4 meter x 15 meter mempunyai 15,000 anak pokok bakau.
Untuk makluman, aktiviti penanaman pokok dalam Program Penghijauan Malaysia dilaksanakan oleh syarikat dan entiti lain bagi menjana kredit karbon yang boleh didagangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX), iaitu pasaran karbon sukarela (VCM), untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka.
BCX dilancarkan pada 9 Disember 2022 dan dijangka mula berdagang pada Mac tahun ini (2023) dan kredit karbon boleh dibida oleh syarikat. Kredit karbon adalah permit atau sijil yang membenarkan pemiliknya melepaskan karbon atau gas rumah kaca (GHG) pada kadar tertentu).
Guna kemahiran jana pendapatan
Nagarajan yang juga fasilitator SHBKDH berkata, walaupun setiap ahli terlibat mempunyai komitmen harian seperti suri rumah dan pekerjaan lain, namun mereka mempunyai tugasan untuk menjaga tumbesaran pokok bakau bergantung kepada jenis dan usia pokok sama ada di tapak semaian mahupun di hutan paya bakau.
"Tidak seperti spesies pokok gambut yang membesar begitu cepat sehingga dua meter dalam tempoh hanya beberapa tahun, pertumbuhan spesies pokok bakau agak perlahan pada tahun pertama hingga tahun keempat kerana ia akan merimbun terlebih dahulu, tapi selepas tahun keempat ia akan tumbuh lebih cepat, bergantung kepada keadaan fizikal sesuatu kawasan yang ditanam.
"Tumbesaran pokok bakau juga bergantung kepada tahap kemasinan tanah lembap dan juga situasi kawasan kerana ia perlukan masa sehingga empat tahun untuk mengadaptasikannya.
"Selain itu, kadar penyimpanan karbon pada lima tahun pertama agak kurang kerana pokok berkenaan dalam proses pertumbuhan, maka kami akan mula mengira kadar penyerapan karbon selepas pokok bakau itu matang iaitu kira-kira empat tahun ke atas," katanya.
Menurut beliau, sebelum memulakan program pemuliharaan di sesebuah kawasan, ahli komuniti akan diberi latihan intensif dari segi penanaman pokok paya bakau, mengira jumlah karbon yang diserap mengikut pokok serta mengukur ketinggian dan kelebaran pokok yang sudah matang.
"Kemahiran yang diperolehi menerusi latihan yang kami sediakan mampu membantu mereka menjana pendapatan kerana anak-anak pokok yang disemai di tapak semaian berkenaan turut dijual kepada syarikat dan individu yang ingin menganjurkan aktiviti penanaman pokok mereka," katanya.
Ketahanan pokok
Usai taklimat, kami dibawa ke hutan paya bakau yang terletak kira-kira 300 meter dari balai raya untuk melihat sendiri hasil usaha SHBKDH dalam aktiviti penanaman semula bersama dengan Yayasan Petronas.
Ketika berjalan kaki menuju ke lokasi hutan paya bakau, cuaca masih panas sehinggakan baju kami basah akibat berpeluh.
Namun, setibanya di hadapan deretan pokok bakau yang tersusun indah, kami seolah-olah memasuki bangunan berdingin hawa yang memberikan rasa nyaman selepas berpanas di bawah cahaya matahari.
"Pokok di sini ditanam pada jarak antara 1.5 hingga 1.7 meter bagi setiap 2,000 pohon dalam satu-satu masa bagi memberi ruang kepada akarnya menjalar, membolehkannya memerangkap sedimen serta mineral yang dialirkan oleh sungai dan alur yang datang jauh dari hulu sebelum dilepaskan ke sungai ataupun laut.
"Seperti hidupan hijau lain, pokok bakau membantu menyerap gas rumah hijau, seperti karbon dioksida dan menukarkannya kepada oksigen bersih. Ia juga mampu menyerap karbon atmosfera lebih daripada lima kali ganda sehektar berbanding hutan tropika," kata Muhammad Syafiq Abdullah, pembantu teknikal program GEC ketika kami leka meninjau landskap di sekitar hutan pokok bakau itu.
Para peserta #Walk4Trees Challenge, termasuk penulis sendiri, begitu teruja melihat hasil usaha komuniti kampung itu yang berjaya menghidupkan kembali tumbuh-tumbuhan hutan paya bakau yang sebelum ini habis digondolkan dan musnah akibat penebangan pokok untuk tujuan pembangunan.
Meskipun tanah lembap di kawasan itu sudah kering dan selamat untuk dipijak, namun masih terasa lecak ketika kaki penulis melangkah masuk ke dalam hutan paya bakau dengan sesekali terperangkap pada himpunan akar-akar yang terbentuk daripada pokok bakau.
Kami juga berpeluang melihat beberapa ekor ketam keluar dari tanah lembap itu membentuk lubang-lubang kecil seakan gunung berapi kecil.
"Ketam dan bakteria yang mendiami ekosistem hutan bakau sebagai contoh bukan sahaja memainkan peranan sebagai penghuni dalam habitat ini sebaliknya sama-sama menyumbang kepada kebolehan hutan bakau secara keseluruhannya untuk berfungsi sebagai penyimpan karbon yang paling unggul di muka bumi terutamanya di dalam sedimen atau tanah di bawahnya.
"Selain itu, hutan bakau juga turut dijadikan sumber protein seperti hasil ikan kepada nelayan di sini dan kayunya dapat dijadikan bahan api kerana keupayaannya sebagai pelindung dan penahan semula jadi daripada bencana alam di tepi sungai atau pun laut," katanya menambah, kayu bakau turut digunakan dalam pembuatan perabot.
Tidak hairanlah, berdasarkan pengamatan penulis menerusi peta, Kampung Dato' Hormat dan penempatan lain di sepanjang Sungai Bernam tidak didirikan di atas garis sungai atau pantai yang terdedah, sebaliknya di belakang lindungan hutan bakau bagi mengelakkan pendedahan terhadap banjir dan ribut taufan.
EJEN PENYERAP KARBON , ELAK 'GREENWASHING'
Sementara itu, pengarah GEC, Faizal Parish berkata, selain melibatkan penduduk tempatan, kegiatan pemuliharaan perlu dilaksanakan dengan pilihan kehidupan yang lestari, yang mampu mengekalkan kepentingan masyarakat.
"Program ini adalah platform terbaik untuk masyarakat tempatan menghargai dan melindungi ekosistem bakau dan tanah gambut menerusi inisiatif pengurusan yang baik.
"Pada masa yang sama, ia menyediakan banyak peluang untuk meningkatkan mata pencarian mereka, " katanya.
Menurut Parish, banyak syarikat menyertai kempen 'One Million Trees' dengan menanam sebanyak mungkin pokok yang mereka boleh, tetapi hanya untuk jangka masa pendek atau setakat meraih publisiti.
"Di GEC, kami jarang terima projek jangka masa pendek. Sebaliknya, kami mengalu-alukan sesiapa yang mahu menjana kredit karbon dengan melibatkan diri sepenuhnya dengan masyarakat, bermula daripada penanaman benih sehingga pokok menjadi matang.
"Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kegiatan 'greenwashing', di mana banyak kawasan digunakan untuk program penanaman semula tetapi kemudiannya diabai tanpa penjagaan dan selenggaran yang sepatutnya," tambahnya.
Perkara ini juga diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis, yang menyatakan program penanaman pokok dan pemulihan hutan perlu melibatkan masyarakat tempatan kerana mereka lebih tahu dan berpengalaman dalam bidang pertanian.
"Banyak yang kita oleh pelajari daripada mereka dan saya sendiri kagum melihat mereka berkongsi pengalaman dalam mewujudkan kumpulan juara alam semula jadi.
"Kebingkasan serta kesediaan mereka untuk memikul peranan menjaga hutan menjadikan mereka ini sebenarnya wira alam semula jadi yang tidak didendang," katanya.
-- BERNAMA / Soon Li Wei
#hutan paya bakau #alam sekitar #Aktiviti Penanaman Pokok 'Walk4Trees Challenge #HSRM
;