Usaha gubal Akta Parlimen Berpenggal tetap bukan langkah terdesak - Azalina
Bernama
Januari 14, 2024 16:35 MYT
Januari 14, 2024 16:35 MYT
PUTRAJAYA: Usaha penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap bukan langkah terdesak, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak menentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pihaknya menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung penggubalan akta berkenaan.
"Terdapat banyak negara yang mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.
"Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen. Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.
Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap, tahun ini.
Katanya, dapatan daripada kajian yang menyeluruh itu akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.
"Sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan juga akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya.
-- BERNAMA