Usaha beri penekanan pelajar asrama penuh sertai STEM penting untuk capai sasaran 60,000 jurutera
Bernama
Mac 14, 2025 18:20 MYT
Mac 14, 2025 18:20 MYT
Ahmad Zahid diberi taklimat oleh Pesyarah Program Teknologi Automasi Elektronik Mohd Hafizi Omar mengenai produk mereka ketika melawat pameran Pusat TVET UniMAP di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra hari ini. - Foto Bernama
ARAU: Usaha memberikan penekanan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh di negara ini memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting untuk mencapai sasaran 60,000 jurutera diperlukan bagi memenuhi permintaan industri.
Ringkasan AI
- 70% pelajar di sekolah berasrama penuh disarankan memilih aliran STEM untuk memenuhi permintaan industri yang memerlukan 60,000 jurutera.
- Pelajar yang cemerlang dalam STEM akan mempunyai peluang lebih besar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
- UniMAP dan Majlis TVET akan terus membantu melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional untuk memenuhi keperluan pasaran kerja.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tumpuan kepada bidang berkenaan akan memberikan peluang lebih besar kepada para pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) jika mendapat keputusan baik.
"Semua sekolah berasrama penuh telah diberikan penekanan bahawa 70 peratus ini hendaklah bertumpu kepada STEM...ini bagi memberikan bekalan kepada universiti MTUN supaya pelajar lepas sekolah menengah yang mempunyai keputusan baik dalam bidang STEM ini dapat terus disalurkan ke universiti MTUN ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerjanya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini. Turut serta Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan.
Rabu lepas media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh memilih aliran STEM bermula tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata UniMAP yang turut mempunyai Pusat TVET berada di barisan hadapan untuk memacu kewujudan 60,000 jurutera yang diperlukan dalam pasaran kerja.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Majlis TVET akan terus membantu UniMAP kerana universiti itu juga melaksanakan latihan dalam bidang Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Aras Tinggi (Hi-TVET).
Dalam lawatan kerja itu, Ahmad Zahid antara lain diberikan taklimat berkaitan Pusat Kecemerlangan Latihan Teknologi Semikonduktor serta menyertai sesi bagi membincangkan keperluan bakat dan bidang Advanced Packaging yang melibatkan pengurusan UniMAP dan pihak NCIA, selain menyaksikan penyerahan dokumen Memorandum Perjanjian (MoU) antara UniMAP dengan 25 pihak industri.
-- BERNAMA