Usah politikkan isu kemiskinan tegar di Sabah - Azizah
Bernama
April 5, 2024 22:53 MYT
April 5, 2024 22:53 MYT
KOTA KINABALU: Semua pihak terutamanya pembangkang di Sabah diminta agar tidak mempolitikkan isu kemiskinan tegar sebaliknya bersama-sama kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha menoktahkan isu dihadapi rakyat pada masa ini.
Ketua Wanita Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata beliau kesal dengan tindakan pembangkang yang terus-menerus menyerang inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri dan sengaja tidak mempedulikan penerangan diberikan mengenai usaha itu.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada masa ini antara lain sedang melaksanakan pemutihan data Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar.
"Itu (isu kemiskinan tegar) dijadikan bahan untuk mengelirukan rakyat. Tapi hakikatnya mereka (pembangkang) tidak tahu apa-apa. Kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor tidak bising, sebaliknya hanya bekerja dan isu kemiskinan antara diberi tumpuan utama.
"Usaha kerajaan negeri GRS dan Pakatan Harapan Plus ini tidak akan berhenti sehinggalah kita mampu menoktahkan miskin tegar di Sabah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Azizah berkata berdasarkan data pemutihan yang sedang dilakukan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah jumlah KIR miskin tegar di Sabah adalah 13,179 setakat bulan lepas, berbanding 22,510 KIR tahun lepas dan pemutihan itu masih berjalan di seluruh negeri.
Beliau berkata usaha juga diambil Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk menyediakan 1,500 buah rumah setiap tahun bagi membantu rakyat kurang berkemampuan, memberi bantuan modal perniagaan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
-- BERNAMA