Usah pinggirkan golongan menengah Melayu

Bernama
Mei 10, 2013 07:15 MYT
Dalam Umno menyambut ulang tahun penubuhannya ke-67 hari ini, kebetulan selepas pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas, parti itu perlu mengorak langkah baru bagi memastikan ia terus relevan.
Antara langkah baharu itu, aspirasi dan kehendak golongan kelas menengah Melayu perlu diberi perhatian bagi memenangi hati mereka, kata penganalisis politik.
Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak hari ini berkata Umno perlu menyediakan kerangka yang lebih inklusif untuk kelompok tersebut.
"Umno memang dekat dengan masyarakat di luar bandar dan Umno masih mempertahankan kerusi di luar bandar tetapi golongan menengah Melayu yang semakin ramai tidak harus dipinggirkan oleh Umno.
"Golongan kelas menengah ini semakin hari semakin besar serta aspirasi dan jangkaan mereka sangat berbeza dengan masyarakat luar bandar dan lain-lain yang bukan kelompok kelas menengah. Aspirasi mereka tak sama dengan aspirasi masyarakat luar bandar," katanya.
-
Sehubungan itu, katanya, Umno mesti mempunyai pakej yang menarik untuk kelompok itu dan golongan muda dengan pendekatan untuk mendekati generasi Y itu perlu ditingkatkan lagi.
"Jika tidak berjaya, maka proses peremajaan Umno akan tergendala dan terjejas. Sebab itu, dua kelompok ini sangat penting, Gen Y di bawah kelompok 40 tahun dan kelompok kelas menengah Melayu," katanya.
Dr Mohamed berkata Umno juga tidak boleh meninggalkan sebarang usaha untuk mendekati masyarakat Cina supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang tidak mesra dengan kaum itu.
"Umno harus cari jalan dalam menjaga keharmonian kaum di negara ini," katanya.
Katanya selagi Umno menjaga orang Melayu, golongan Bumiputra di Sabah dan Sarawak, agama Islam dan terus melaksanakan keadilan dalam negara serta mengelak daripada rasuah atau sebagai parti yang tidak bersih, Umno akan terus mendapat sokongan.
"Jangan terpalit dengan imej rasuah, atau hanya jaga orang kaya sahaja atau sebuah parti hanya untuk kelompok Melayu tertentu sahaja.
"Umno mesti mengambil sikap dan pendekatan yang inklusif dengan menjaga kepentingan orang Melayu, agama, raja dan adil kepada semua rakyat Malaysia, Umno akan terus dihargai," katanya.
#Barisan Nasional #Najib Tun Razak #PRU-13 #UMNO
;