Usah percaya khabar angin pertukaran MB Johor - Setiausaha Akhbar
Astro Awani
April 7, 2019 20:38 MYT
April 7, 2019 20:38 MYT
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman meminta semua pihak agar tidak percaya khabar angin yang timbul berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Katanya Osman dijadualkan akan ke Kuala Lumpur pada esok (Isnin) untuk persiapan Mesyuarat Pra-Majlis, Mesyuarat Delegasi dan majlis makan tengah hari bersempena Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya yang dijadualkan pada Selasa.
"Saya sahkan MB (Osman) memang dijadualkan ke Kuala Lumpur pada esok (Isnin).
"Kalau MB ada berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia adalah perkara biasa memandangkan sesuatu perbincangan perlu diadakan untuk persediaan sebelum mesyuarat besar berlangsung.
"Lusa (Selasa) akan berlangsung Mesyuarat Pra-Majlis, Mesyuarat Delegasi dan majlis makan tengah hari bersempena Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura.
"Jadi MB Johor datang awal untuk persediaan masyuarat itu adalah perkara biasa," katanya.
Jelas Abdul Hakim, sekarang ini ramai pihak yang cuba mengelirukan orang ramai untuk kepentingan peribadi dan politik.
#isu pertukaran
#Mahathir Mohamad
#Menteri Besar Johor
#Osman Sapian
#Perdana Menteri
#setiausaha akhbar