Usah keliru antara H1N1 dan H5N1 - Pengarah Kesihatan Terengganu

Bernama
April 19, 2017 18:00 MYT
Dr Mohammad Omar berkata H1N1 langsung tidak ada kena mengena dengan ayam atau binatang ternakan yang lain kerana ia adalah virus berlainan yang menyebabkan H5N1. Gambar hiasan
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terkeliru antara Influenza A H1N1 dan H5N1 (Avian Influenza) kerana ia adalah dua wabak penyakit yang berbeza, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohammad Omar.
Beliau berkata H1N1 adalah flu (selesema) biasa yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja ketika ini dan tidak akan menyebabkan sebarang komplikasi kesihatan yang teruk, malah ia akan pulih dalam tempoh beberapa hari.
"Hanya empat golongan yang berkemungkinan berisiko ditimpa masalah komplikasi kesihatan apabila menghidap H1N1 iaitu wanita hamil, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti jantung, kencing manis atau darah tinggi.
"Itu sahaja golongan berisiko sekiranya menghidap H1N1. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan ayam atau binatang ternakan yang lain kerana ia adalah virus berlainan yang menyebabkan H5N1," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita susulan terlalu banyak penyebaran di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai kekeliruan orang ramai antara H1N1 dan H5N1 setelah tersebar berita kematian seorang wanita hamil di Terengganu akibat H1N1 baru-baru ini.
Dr Mohammad berkata setiap hari, jabatan menerima terlalu banyak soalan daripada orang ramai mengenai kebimbingan mereka susulan berita kematian itu.
"Ada yang bertanya kepada saya masih selamatkah untuk menjadikan ayam sebagai menu hidangan kerana bimbangkan kesihatan mereka. Bermacam-macam soalan mengenai H1N1 sedangkan pemahaman mereka tidak tepat.
"Jadi, saya tegaskan di sini bahawa kebimbangan mereka itu tidak berasas sama sekali. Kasihanilah penjual ayam atau haiwan ternakan lain yang mungkin terjejas akibat penyebaran maklumat tidak tepat itu," katanya. -- BERNAMA
#Dr Mohammad Omar #flu #H1N1 #H5N1 #Influenza #Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu #kekeliruan #media sosial #selesema biasa
;