Usah kaitkan kanser paru-paru dengan perokok sahaja - Pakar

Ridauddin Daud
Februari 4, 2021 13:41 MYT
Kesedaran untuk mengesan kanser paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah malah hampir 90 peratus kanser itu dikesan lewat, sudah mencapai tahap tiga atau empat. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kanser paru-paru sering dikaitkan dengan budaya merokok namun faktanya, banyak punca lain yang boleh menyebabkan anda menghidap kanser tersebut.
Stigma negatif berkenaan yang wujud sejak dari dulu menyebabkan ada pesakit kanser paru-paru cuba menangguhkan rawatan kerana takut dengan persepsi orang ramai.
Naib Presiden Lung Cancer Network Malaysia, Dr Tho Lye Mun berkata, persepsi sebegitu tidak membantu pesakit malah membuatkan emosi mereka semakin terbeban.
“Ramai orang fikir kanser paru-paru ini biasanya dikaitkan dengan perokok tapi sebenarnya terdapat banyak faktor atau risiko lain seperti faktor genetik, pendedahan pekerjaan kepada bahan-bahan kimia atau memasak dengan suhu tinggi.
BACA: Hari Kanser 2021: Menara KL, bangunan di Putrajaya disinari warna jingga dan biru
“Wap yang panas mengeluarkan wasap suhu tinggi (boleh menjadi punca kanser), selain itu pencemaran udara atau budaya pemakanan yang tidak sihat juga boleh menjadi punca.
“Di Malaysia, semakin ketara ramai golongan wanita yang tidak pernah merokok didapati menghidap kanser paru-pada. Ramai orang muda didiagnos menghidap kanser ini dan paling muda saya rawat berumur 25 tahun dan dia tidak pernah merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI.
Hari Kanser Sedunia | Hapus stigma, salah faham tentang kanser
Tambahnya, kesedaran mengesan kanser paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah malah hampir 90 peratus kanser itu dikesan lewat, sudah mencapai tahap tiga atau empat.
“Kita perlu sedar diagnosis awal yang paling penting. Bila kita diagnos di tahap awal, kadar sembuh lebih daripada 70 ke 80 peratus dengan terapi moden yang kita beri kepada pesakit.
BACA: Hari Kanser Sedunia: KKM komited lindungi pesakit kanser sewaktu pandemik COVID-19
“Berkaitan COVID-19, kadar kematian 0.4 peratus di Malaysia kerana dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia tapi kalau kita lambatkan diagnos kanser paru-paru, kadar sembuh untuk Tahap 4 adalah kurang daripada 0.5 peratus.
“Rakyat Malaysia kena sedar tentang perkara ini,” ujarnya.
Justeru, sempena Hari Kanser Sedunia, pihaknya menganjurkan kempen Keep Breathing dengan sokongan Pfizer untuk meningkatkan kesedaran berhubung kanser paru-paru.
[INFOGRAFIK] Hari Kanser Sedunia (04 Feb 2021)
#kanser #paru-paru #kanser paru-paru #stigma #negatif #persepsi #KKM #Kuala Lumpur #Putrajaya #wanita #kesihatan #pandemik #Pfizer #COVID-19 #rakyat Malaysia
;