Usah gugat prinsip toleransi yang jamin keharmonian kaum - Subramaniam

Bernama
Disember 21, 2016 07:22 MYT
SUBRAMANIAM: "Kita telah menerima prinsip ini, oleh itu tidak harus mengganggu keamanan dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini. - Gambar fail
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini mengingatkan rakyat agar tidak menggugat prinsip toleransi dan penerimaan yang diamalkan selama ini demi menjamin keamanan dan keharmonian dalam negara.
"Kita telah menerima prinsip ini, oleh itu tidak harus mengganggu keamanan dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini.
"Rakyat Malaysia dari pelbagai agama dan kaum perlu memeliharanya (keamanan dan keharmonian) dan sentiasa berusaha ke arah itu," kata Menteri Kesihatan itu kepada pemberita selepas menyambut perayaan Krismas Kebangsaan sulung MIC di sini malam tadi.
Terdahulu di majlis itu, kira-kira 110 orang kanak-kanak dari rumah kebajikan sekitar Selangor diberi hadiah, simbol tradisi Krismas, dalam bentuk keperluan persekolahan termasuk alat tulis.
Kanak-kanak itu dari Yesuvin Mahligai Welfare Organisation Selangor (YM), Henry Home, Selayang dan Philea Home, Kapar. -- Bernama
#keharmonian kaum #Presiden MIC #S. Subramaniam
;