Usah disia-siakan, ibu bapa dan anak-anak perlu tumpu pelajaran- Anwar Ibrahim
Rahimah Abdullah
Januari 24, 2021 14:44 MYT
Januari 24, 2021 14:44 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ibu bapa terus memberi perhatian kepada pelajaran anak-anak mereka dalam situasi negara berdepan pandemik COVID-19.
Jelasnya, waktu yang terluang perlu dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran dan membaca buku.
"Hari ini ditetapkan oleh UNESCO sebagai Hari Pendidikan Sedunia. Saya nak ambil kesempatan ini untuk menyeru kepada ibu bapa dan anak-anak sekalian supaya memanfaatkan waktu dengan sebaiknya.
"Setahun semasa COVID-19 melanda kita, dan dunia menyebabkan pendidikan terjejas, anak tidak ke sekolah, dan kalau ada pembelajaran online pun, tidak ada connectivity. Ini semua masalah yang diketahui," katanya melalui satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.
Selain itu katanya, pelajar perlu bijak membahagikan masa belajar terutama pada waktu terluang.
"Saya hanya nak mohon supaya anak-anak ambil perhatian dengan buku teks yang ada, tentukan beberapa jam, pagi, petang atau malam dengan membaca dan mengulangkaji pelajaran. Membaca sebanyak mungkin. Masa terluang, tidak boleh dikembalikan," tambahnya.
Beliau bagaimanapun mengakui sesiapa sahaja tidak dapat mengetahui berapa lama lagi keadaan akan kembali normal dan sekolah boleh beroperasi seperti biasa.
Namun katanya, sekurang-kurangnya waktu yang ada diisi dengan aktiviti mengulang kaji pelajaran demi kepentingan pelajar.
"Kalau kita nak tentukan bila sekolah dibuka, keadaan (kembali) seperti biasa, ia tidak menentu. Namun jangan sia-siakan waktu ini.
"Saya menggesa ibu bapa dan anak-anak beri perhatian dalam bidang pendidikan dan pastikan anak-anak mengulangkaji dan membaca tanpa jemu," ujarnya.
#Anwar Ibrahim
#ketua
#pembangkang
#pelajar
#pendidikan
#sekolah
#Unesco
#COVID-19
#Facebook
#pandemik
#PKP
#hari pendidikan sedunia