Usah dibesarkan isu peletakan jawatan Dr Maszlee, fokus isu rakyat - Rina
Nickyson Nyambar
Januari 6, 2020 15:33 MYT
Januari 6, 2020 15:33 MYT
Semua pihak diminta supaya tidak membesarkan isu peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Sebaliknya mereka perlu menghormati keputusan itu dan pandang ke hadapan.
“Isu ini kita harus hormati, kita ada isu negara yang perlu kita selesaikan. Ini sudah tahun 2020 dan kita sudah dua tahun ke hadapan (kepimpinan PH), kita fokus kepada program untuk negara.
“Isu ini kita serahkan kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir, apa sahaja perbincangan mereka berdua, saya tiada di dalamnya. Jadi, kita biarlah mereka dengan keputusan yang telah dibuat. Yang penting kita kena move forward,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar bersempena pendaftaran pelajar Tingkatan 1 sekolah itu.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam sebelum ini mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas kira-kira 20 bulan memegang jawatan berkenaan atas nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu Rina berkata beliau akan terus mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Srikandi Bersatu dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan bermula pada 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.
Ini kerana ada pelbagai rencana dan agenda untuk pembangunan wanita yang perlu dilaksanakan.
#Dr Maszlee Malik
#JAWI
#kabinet
#Kementerian Pendidikan
#Mahathir Mohamad
#MARA
#Maszlee Malik
#Menteri Pendidikan
#pemilihan
#Rina Mohd Harun