Usah buruk sangka, rapatkan hubungan dengan ulama dan pemimpin - Mustapa

Vivi Sumanti
Februari 17, 2018 17:16 MYT
MUSTAPA: Saya mahu kebaikan ini kita kongsi bersama.
Mempercayai fitnah dan syak wasangka akan menjadi ‘pintu besi’ atau pemisah bagi hubungan dengan ulama dan umara (pemimpin), kata Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut beliau, pemikiran negatif dan buruk sangka menjadi halangan tersebut disebabkan sikap masyarakat itu sendiri yang hanya melihat orang lain dengan pandangan buruk.
“Saya masih ingat lagi, berhenti solat Zohor di sebuah masjid, ada orang sebut, ‘solat juga Tok Pa rupanya’.
“Satu pengalaman lagi ialah apa yang diceritakan anak buah saya sebelum ini. Katanya, ada seorang hamba Allah bercerita padanya, bahawa beliau pernah bersalam dengan saya selepas solat Jumaat, 10 tahun lalu.
“Namun selepas bersalam, cepat-cepat dia pergi basuh tangan, sebab katanya tangan Tok Pa ni kotor. Kotor dengan pelbagai kejahatan. Saya hanya mampu tersenyum dengar cerita itu,” katanya.
Beliau menyampaikan ucapan di Majlis Himpunan Warga Tahfiz anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri dan turut dihadiri Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Yahaya Mamat.
Menurut Mustapa, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi memberi pendedahan dan membuka minda yang luas kepada masyarakat supaya budaya pemisah tersebut tidak menjadi dinding kepada pemimpin dan masyarakat.
Ahli Parlimen Jeli itu juga memberitahu, kerajaan juga sedaya upaya melaksanakan program yang membawa kebaikan kepada semua pihak, yang mana ke arah amar makruf nahi munkar.
“Kita mahu buat benda baik. Sudah pasti saya tidak sempurna, namun saya mahu kebaikan ini kita kongsi bersama. Kita kena saling menegur, berani kerana benar.
“Jadi kita ambil sikap terbuka untuk dengar daripada semua masyarakat. Tegurlah, tetapi dengan penuh baik, tertib, supaya kita tidak menimbulkan fitnah dan sebagainya,” jelasnya.
Tambah Mustapa, dengan adanya himpunan seperti itu, kita tahu bahawa masih wujud satu kelompok masyarakat yang berguna kepada bangsa, agama dan negara.
"Walaupun Malaysia kini dikenali sebagai salah sebuah negara model untuk negara Islam, sekali gus menjadi contoh kepada negara lain, namun ada banyak lagi yang kita perlu lengkapkan, dan kita akan hadapinya bersama-sama nanti,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri turut menyatakan sokongan kepada MAYC dalam pelaksanaan projek baru iaitu Rakan Masjid melibatkan penglibatan golongan belia negara ini.
#buruk sangka #Islam #Mustapa Mohamed #pemimpin #ulama #umara #UMNO
;