Usah bimbang terhadap AI - Wartawan veteran
Bernama
Januari 8, 2025 23:15 MYT
Januari 8, 2025 23:15 MYT
KUCHING: Wartawan dan industri media tidak seharusnya bimbang dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu menerima teknologi itu sebagai 'rakan' yang bermanfaat dalam mengatasi pelbagai cabaran.
Ringkasan AI
- Wartawan dan industri media digalakkan menerima AI sebagai rakan untuk meningkatkan kualiti kerja.
- AI membantu mempercepat pengumpulan maklumat dan meringankan beban kerja wartawan.
- Program latihan AI mengajar penggunaan teknologi ini untuk penyuntingan, penulisan automatik, dan analisis data.
Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata AI perlu dianggap sebagai rakan yang membantu individu dalam industri ini untuk menjadi wartawan, penulis dan penyampai yang lebih baik.
Wartawan veteran itu berkata satu daripada kelebihan AI ialah teknologi itu yang mampu mempercepat proses pengumpulan maklumat daripada rekod yang memerlukan masa yang lama.
"AI dapat membantu memendekkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan beban kerja anda. Dahulu, wartawan di sesebuah organisasi terpaksa meneliti rekod keratan berita untuk mendapatkan latar belakang yang lebih mendalam bagi berita atau artikel analisis yang dihasilkan.
"Pada masa ini, anda tidak perlu melakukannya kerana AI boleh menjadi rakan anda, membantu meningkatkan usaha dan mempercepat proses," katanya dalam ucapan pada majlis penutup program latihan Artificial Intelligence: Empowering Journalists on Content and Newsroom Management di sini hari ini.
Program dua hari yang berakhir hari ini merangkumi modul berkaitan penggunaan AI dalam penyuntingan, penulisan automatik dan analisis data dalam bidang kewartawanan.
-- BERNAMA