Usah bimbang keselamatan dan keberkesanan vaksin Pfizer - Pakar

Ridauddin Daud
Januari 20, 2021 09:47 MYT
Vaksin tersebut sejak mula diperkenalkan sudah menjalani beberapa ujian klinikal dan data menunjukkan ia 95 peratus berkesan dalam mengurangkan gejala COVID-19.
KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia tidak harus bimbang dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer yang bakal dibawa masuk ke Malaysia kelak.
Vaksin tersebut, sejak mula diperkenalkan, sudah menjalani beberapa ujian klinikal dan data menunjukkan ia 95 peratus berkesan dalam mengurangkan gejala COVID-19.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Kalaiarasu Pearisamy berkata, beliau sendiri akan menerima vaksin itu dan ia jaminan yang boleh diberikan kepada rakyat bagi menunjukkan vaksin itu selamat.
[INFOGRAFIK] Apa itu vaksin Pfizer?
BACA SEMUA MENGENAI COVID-19 DI SINI
“Sebenarnya bukan semudah itu melakukan ujian klinikal kerana ada peraturan ketat yang diaplikasi sebelum sesuatu bahan atau produk itu diguna pakai kepada manusia. Contohnya dalam percubaan klinikal Pfizer.
“Mereka telah melepasi apa yang kita sebutkan sebagai ujian klinikal Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3. Dalam Fasa 1, keselamatan diuji dan laporan itu perlu diterima pakai oleh agensi-agensi regulatori sebelum dibenarkan untuk membawa kajian itu kepada manusia.
AWANI Ringkas: Isu vaksin jadi tumpuan Dewan Rakyat | Pengambilan vaksin dituntut mana-mana agama
“Dalam Fasa 2 dan Fasa 3, efikasi itu dikaji. Dalam kajian Pfizer juga, mereka telah melakukan kajian kepada lebih daripada 40,000 orang yang merangkumi umur daripada 18 tahun sampailah kepada umur 80 tahun,” katanya dalam Agenda AWANI pada Rabu.
Tambahnya, pemilihan vaksin itu telah diperhalusi pelbagai pakar yang menganggotai Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin dan berdasarkan data keselamatan dan keberkesanan, ia cukup untuk diterima dan dicalonkan vaksin itu kepada rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menyatakan vaksin tersebut juga berkesan terhadap varian baharu COVID-19 yang dikesan di United Kingdom baru-baru ini.
BACA: Varian baharu COVID-19: Kerajaan terus waspada walaupun belum dikesan
BACA: COVID-19: Varian baharu virus di UK cetus peningkatan kes mendadak
Begitupun, katanya, Pfizer tetap akan melakukan kajian lanjut berhubung kesan vaksin dan varian terbaharu itu.
“Untuk yang menerima vaksin ini, tidak perlu bimbang kerana tindak balas daripada vaksin ini cukup untuk beri imuniti terhadap varian ini dan mutasi lain.
“Mungkin mutasi lain akan timbul daripada COVID-19 tapi secara dasarnya, semua platform yang telah digunakan untuk kajian penyakit COVID-19 nampak cukup untuk melawan penyakit ini dari segi mutasinya juga,” ujarnya.
Astro AWANI pada 8 Januari lepas melaporkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.
BACA: COVID-19: Vaksin Pfizer diluluskan NPRA - Khairy
Perkara itu disahkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kepada Astro AWANI dalam rakaman rancangan temu bual, Consider This, di sini, pada Jumaat.
Jelas Khairy, KKM telah memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Pfizer di negara ini.
Cerita Sebalik Berita: Vaksin Pfizer diluluskan NPRA - Khairy
"Saya baharu sahaja terima makluman daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kita telah menerima pendaftaran bersyarat kepada vaksin COVID-19 daripada Pfizer.
"Ia masih lagi tertakluk kepada beberapa syarat yang kita perlu dapat daripada Pfizer dari segi maklumat.
"Tetapi maksudnya, dengan pendaftaran bersyarat ini, vaksin COVID-19 daripada Pfizer boleh digunakan di Malaysia," katanya lagi.
#vaksin #program vaksinasi #COVID-19 #Pfizer #Khairy Jamaluddin #Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #Kementerian Kesihatan #Agenda Awani #keselamatan #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #NPRA #rakyat #vaksin berkesan #vaksin selamat