Usah bimbang, bekalan cukup menjelang Aidilfitri - Salahuddin

Ridauddin Daud
April 15, 2023 06:15 MYT
Salahuddin melakukan lawatan di sebuah pasar raya di Selayang sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2023 pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
SELAYANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi sehingga Hari Raya Aidilfitri.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menasihatkan pengguna supaya tidak bimbang kerana data menunjukkan bekalan cukup sempena musim perayaan kali ini.
"Setakat pagi tadi saya difahamkan bekalan mencukupi menjelang hari raya ini.
"Jadi jangan bimbanglah. Kalau ada apa-apa perubahan drastik, KPDN akan memberi notis awal, memberitahu lebih awal mana-mana barangan yang tidak cukup.
"Setakat ini, jangan bimbang. Berdasarkan maklumat kita, maklumat daripada MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), kami mendapat maklumat bahawa bekalan mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di sebuah pasar raya di sini sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2023 pada Sabtu.
#bekalan barangan keperluan #kpdn #Aidilfitri #Salahuddin Ayub